Skip to main
Logo Malaysiakini

M'sia sasar guna teknologi nuklear 40 peratus menjelang 2030

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerajaan berhasrat meningkatkan penggunaan teknologi nuklear sehingga ke tahap 40 peratus dengan nilai pelaburan industri sebanyak RM2.4 bilion menjelang 2030.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata sasaran itu adalah selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 DTNN) yang baru.

Katanya dasar itu merupakan usaha kementerian terbabit merangka hala tuju strategik jangka panjang yang signifikan bagi memacu pembangunan teknologi nuklear negara sehingga 2030.

“Walaupun negara telah menggunakan teknologi nuklear secara meluas selama lebih 40 tahun, kerajaan berharap dasar yang dilancarkan hari ini dapat membantu negara mencapai sasaran dan ia adalah dasar untuk mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear di negara kita,” katanya.

Ahli parlimen Tanjung Malim itu dipetik media selepas menghadiri majlis pelancaran DTNN di Hotel Marriott Putrajaya hari ini.

Menurut Chang setakat ini Malaysia hanya menggunakan kira-kira 20 peratus teknologi nuklear dengan nilai pelaburan kurang daripada RM1 bilion.

Katanya kerajaan mengakui tahap teknologi nuklear negara berada pada kedudukan sangat baik namun kadar penggunaannya masih rendah.

"Sebagai contoh, ia digunakan secara meluas dalam sektor perubatan, juga dalam teknologi makanan dengan pengeluaran berkualiti termasuk beras (yang) lebih tahan penyakit dan lain-lain,” jelasnya.

Chang juga menghuraikan strategi dan inisiatif yang digariskan dalam DTNN itu akan membolehkan negara memaksimumkan penggunaan teknologi nuklear secara aman untuk pembangunan sosioekonomi dan meletakkan Malaysia setanding dengan negara maju lain.

Untuk itu, Chang menegaskan, DTNN menetapkan empat teras strategik, 18 strategi dan 13 sasaran utama yang melibatkan pihak berkepentingan dalam pelbagai sektor ekonomi.

Ia juga mengenal pasti enam sektor fokus utama iaitu, perubatan dan penjagaan kesihatan; makanan dan pertanian; pembuatan peranti dan peralatan; pengurusan alam sekitar dan sumber asli; aplikasi perindustrian serta keselamatan dan keselamatan nuklear.

Selain itu, Chang mendedahkan projek perintis untuk melombong unsur nadir bumi (REE) di Gerik, Perak untuk menguji sama ada teknologi dan teknik yang digunakan dapat mengelakkan pencemaran air dan pencemaran air bawah tanah serta isu alam sekitar yang lain.

Menurutnya, projek perintis itu penting bagi memastikan teknik larut lesap in-situ selamat digunakan sebelum pembangunan industri mineral dijalankan.

Katanya ia masih berstatus projek perintis dan belum dikomersialkan lagi.

Chang turut menyokong pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membangunkan dasar mengharamkan eksport REE bagi mengelakkan eksploitasi kehilangan mineral dan sumber untuk menjamin "pulangan maksimum" buat negara.

“Jika kita hanya mengeksport bahan mentah REE, ia tidak akan membantu industri nadir bumi negara.

“(Justeru), larangan eksport akan membantu kita membangunkan industri, terutamanya di peringkat (industri) hiliran,” katanya.

[Baca berita asal]