Skip to main
Logo Malaysiakini

Jomo: Rakyat perlu faham faedah rendah juga bermakna ringgit lemah

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Dasar Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar faedah rendah memainkan peranan positif dalam mengurangkan kos pinjaman tetapi rakyat Malaysia perlu memahami bahawa ini juga mengakibatkan ringgit lemah, kata pakar ekonomi Jomo Kwame Sundram.

"Kadar faedah AS yang semakin meningkat memaksa semua orang untuk menaikkan kadar faedah, jadi apabila sesetengah daripada anda mengadu tentang ringgit semakin lemah, kita perlu faham mengapa ia menjadi sangat lemah?

“Kerana sejak awal tahun ini, jawatankuasa dasar monetari BNM, enggan menaikkan kadar faedah dan dengan tidak menaikkan kadar faedah, ia telah mengurangkan kos pinjaman untuk orang ramai yang ingin terlibat dengan pelaburan serta penggunaan.

"Tetapi ini bermakna bahawa nilai ringgit telah merosot. Ini adalah pilihan yang sangat sukar yang perlu dibuat. Dan kerana ini adalah pilihan yang sangat sukar, penting bagi orang ramai untuk memahami mengapa pilihan ini dibuat dan apakah implikasinya," kata Jomo.

Jomo, yang merupakan Penasihat Kanan di Institut Penyelidikan Khazanah bercakap mengenai topik Cabaran Geopolitik, Peluang dan Prospek bagi Ekonomi Malaysia sebagai sebahagian daripada bahagian tema ekonomi dalam sambutan ulang tahun ke-100 Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor hari ini.

“Saya pasti ramai di antara anda yang menyara anak-anak yang belajar di luar negara yang merungut kerana nilai ringgit kini lebih rendah.

"Tetapi pada masa yang sama, terdapat ramai orang yang tidak akan mampu untuk membayar kadar faedah yang lebih tinggi. Ia adalah pilihan yang sukar. Lihatlah apa yang telah berlaku. Inflasi turun tahun ini di Malaysia tanpa menaikkan kadar faedah kerana gangguan bekalan lebih kurang sudah stabil," tambahnya.

Menggalakkan pelaburan domestik

Jomo juga berkata amat penting bagi Malaysia untuk mempromosikan pelaburan langsung domestik (DDI).

Dia berkata berdasarkan bukti di seluruh dunia, apabila pelaburan domestik mendahului, pelaburan langsung asing (FDI) akan ikut pola sama.

"Di sini, sejak beberapa dekad kebelakangan ini kita telah mengamalkan sebaliknya. Pelaburan asing mendahului dan pelaburan domestik sepatutnya ikut pola sama.

"Adakah itu benar-benar berlaku di dunia? Tidak. Kita perlu memberi keistimewaan kepada pelaburan domestik. Dan sekarang dengan semua undang-undang tak cerdik dan perjanjian antarabangsa yang telah kita persetujui, kita mempunyai situasi di mana tidak masuk akal untuk pelabur Malaysia didaftarkan di Malaysia.

"Anda boleh mendapat lebih banyak keistimewaan dengan menjadi pelabur asing, katakan di seberang Tambak Johor, daripada yang anda dapat di Malaysia," katanya memetik contoh Grab, yang disifatkannya dikendalikan oleh rakyat Malaysia, namun berdaftar di Singapura.

“Jadi kita mempunyai situasi di mana kita telah mencipta semua jenis undang-undang yang sebenarnya tidak membantu pelabur Malaysia untuk membangun.

"Dan itulah sebabnya penting bagi kita untuk memberikan lebih banyak penekanan pada DDI, kurang pada FDI dan pastinya kurang pada pelaburan portfolio asing," kata Jomo.