Skip to main
Logo Malaysiakini

'Dari penggal dulu lagi, MP tak lafaz wallahi, wabillahi, watallahi'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menjelaskan bahawa kalimah "wallahi, wabillahi, watallahi" sememangnya tidak dilafazkan ketika majlis angkat sumpah ahli parlimen, bukan sahaja bagi penggal ini tetapi juga termasuk penggal-penggal yang lepas.

Menerusi video yang dimuat naik dalam TikTok, Fahmi berkata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul juga turut memberikan jawapan bahawa perkara itu tiada dalam peraturan mesyuarat.

Fahmi berkata untuk memastikan kesahihan dakwaan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim itu, beliau telah meneliti semua upacara majlis angkat sumpah Ahli Parlimen yang berlangsung sebelum ini.

Ia turut membabitkan angkat sumpah oleh Shahidan dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada tahun lepas, Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin (2018), Ahli Parlimen Marang Tan Sri Abdul Hadi Awang (2013) dan terbaharu Ahli Parlimen Kulai Suhaizan Kaiat pada Selasa lepas.

"Jelas tidak ada bacaan ungkapan ‘wallahi, wabillahi, watallahi’ dalam majlis angkat sumpah ahli-ahli parlimen.

“Bukan hanya dalam penggal ini, malah untuk penggal-penggal sebelum ini pun.

“Datuk Seri Shahidan, hentikan cuba membuat provokasi dalam Parlimen dengan kenyataan-kenyataan yang tidak berasaskan kepada fakta.

“Apatah lagi bila terbukti Datuk Seri Shahidan sendiri sebagai ahli parlimen tidak membaca ungkapan yang Datuk Seri sebutkan itu,” katanya.

Semalam, tular sebuah video yang memaparkan Shahidan meminta penjelasan berhubung kalimah "wallahi, wabillahi watallahi" tidak dilafazkan Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor ketika mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Rakyat.

Fahmi dalam pada itu turut menasihati masyarakat agar melakukan semakan terlebih dahulu sebelum menyebarkannya.

“Ingat ... semak sebelum sebar, kita sahkan dulu apa yang kita terima dalam media sosial,” katanya.

- Bernama