Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon PN pertaruh kedudukan sebagai bekas cikgu, guru silat

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai, Kasim Samat mempertaruhkan kedudukannya sebagai bekas guru untuk menarik sokongan pengundi.

Menurut Kasim, kedudukan itu memberi kelebihan kepadanya memandangkan sebahagian besar pengundi di situ adalah bekas anak didiknya sama ada sebagai cikgu mahu pun guru silat.

"Di DUN Pelangai ini kebanyakannya anak-anak buah saya sama ada di sekolah atau murid-murid silat saya.

"Kalau anak sudah jadi anak murid saya, sudah tentu ibu bapanya rapat dengan saya," katanya kepada media selepas selesai penamaan calon di Pusat Penamaan Calon Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, Bentong, hari ini.

Pada pilihan raya umum lalu, Kasim tewas kepada penyandang, Allahyarham Johari Harun dengan perbezaan 4,048 undi.

Johari mendapat 7,308 undi manakala Kasim dengan 3,260 undi. Calon PH Ahmed Wafiuddin Shamsuri mendapat 2,031 undi manakala Isa Ahmad dari Pejuang dengan 65 undi.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian Johari dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Ditanya mengenai kelebihan yang dilihat memihak kepada gabungan BN-PH di Pelangai berdasarkan keputusan PRU lalu, Kasim berkata situasi kini berbeza.

Dia berkata, gelanggang PRK tidak sama dengan PRU selain kecenderungan anak muda untuk terus menyokong PN.

"Saya terbuka, ini usaha masing-masing...Gabungan mereka itu (BN-PH) gabungan tidak kukuh sebenarnya.

"Saya lihat insya-Allah anak-anak muda akan beralih, gelombang (hijau) itu akan sampai juga di DUN Pelangai," katanya lagi