Agong: Masih rindu, harap orang Borneo juga rindu orang Pahang
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa pengalaman sepanjang meyertai Kembara Kenali Borneo yang bermula pada awal bulan ini, masih meninggalkan kesan kepada Seri Paduka Baginda sekeluarga.
Kembara yang turut disertai Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah itu, menurut Seri Paduka Baginda hanya "dipenuhi pengalaman manis, tiada yang pahit dan semuanya berjalan elok".
"Saya ingin ambil kesempatan... ini kali pertama saya berucap selepas 10 hari di kembara dan saya sekeluarga masih lagi ada perasaan rindu kepada rakyat Sabah, Sarawak dan Brunei dan sudah tentu juga (rindu) kepada Pahang.
"Kepada semua di Borneo, izinkan saya mengatakan bahawa walaupun jauh di mata, tapi tetap dekat di hati kita semua. Saya harapkan orang di sana juga, ada perasaan rindu kepada kita orang Pahang," titah Seri Paduka Baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian semasa mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Jambatan Guai di Kampung Seberang Guai di Bera, Pahang hari ini, yang kemudiannya dinamakan sebagai Jambatan Al-Sultan Abdullah.
Turut berangkat ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Timbalan Menteri Kerja Raya Abdul Rahman Mohamad, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dan bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera.
Al-Sultan Abdullah dalam titah baginda turut menzahirkan hasrat mahu menerbitkan buku dan membuat video semua pengalaman manis sepanjang kembara sejauh 2,154 kilometer yang menelusuri Lebuhraya Pan Borneo dari 3 hingga 13 Sept lepas.
Kembara Kenali Borneo yang diilhamkan oleh Al-Sultan Abdullah sendiri merupakan kunjungan terakhir Seri Paduka Baginda ke Sabah dan Sarawak sebagai seorang Yang di-Pertuan Agong sejak ditabalkan pada 2019.
Mengaitkan kembara itu dengan perasmian Jambatan Guai, Al-Sultan Abdullah bertitah jambatan seharusnya menjadi medium yang menghubungkan silaturahim dan memanjangkan semangat ukhuwah serta menyatukan semua sebagai keluarga Malaysia yang harmoni.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai