Skip to main
Logo Malaysiakini

Asyraf: PAS pernah puji DAP kerana baca al-Quran

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki tampil membela Ahli Jawatankuasa Pusat DAP Howard Lee yang mendapat kecaman PAS kerana memetik ayat al-Quran.

Asyraf berkata walaupun dia telah menasihatkan Lee supaya tidak menggunakan ayat al-Quran apabila membincangkan politik pada masa hadapan, PAS pula pernah mengalu-alukan kelakuan sedemikian.

"Saya sudah menghubungi YB Howard Lee untuk tidak lagi mengulangi perbuatan memetik atau merujuk ayat-ayat Al-Quran dalam memberikan pandangannya dalam hal berkaitan politik untuk mengelakkan fitnah dan disalah-tafsir hingga mencetukan polemik yang tidak berkesudahan.

"(Ini) walaupun perbuatan DAP itu pernah di’halal’kan oleh kepimpinan PAS waktu bersama dahulu," kata Asyraf.



Secara berasingan, Asyraf berkongsi klip video yang menggambarkan ahli jawatankuasa PAS pusat Mohd Amar Abdullah, dalam klip video tanpa tarikh, menyampaikan ucapannya memuji ahli DAP dan PKR kerana "membaca" al-Quran.

Pada satu ketika, rakaman video itu memaparkan Mohd Amar menyebut "Pakatan Rakyat" - menunjukkan ucapan itu mungkin disampaikan ketika DAP, PAS dan PKR masih berada dalam satu gabungan politik.

Pada 22 Sep, polis berkata pihaknya menyiasat Lee berikutan laporan dibuat terhadap salah satu video TikToknya yang didakwa memetik Surah An-Nisa ayat 59.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Muhammad Sanusi Md Nor segera menjadikan kejadian itu sebagai bahan kempen pilihan raya kecil Pelangai yang sedang berlangsung.

Sanusi berkata penggunaan petikan al-Quran oleh Lee adalah petanda "liberalisme yang semakin meningkat" dan menggesa pengundi menolak calon BN, yang bersekutu dengan DAP.

Sanusi yang juga menteri besar Kedah menganggap Howard Lee melakukan kesalahan yang "begitu besar" serta "sangat sensitif" buat masa depan negara.

‘Berjuta turun ke jalan’

Kata Sanusi, Lee membuat tafsirannya sendiri mengenai ayat al-Quran dan ia tidak wajar dibuat oleh seseorang yang tidak memiliki ilmu berkaitan Islam.

Dakwa Sanusi, jika tindakan tidak diambil ke atas Lee, kemarahan akan meningkat dan mungkin mendorong orang ramai turun ke jalan raya.

"Jangan sampai rakyat marah dan berhimpun di Kuala Lumpur berjuta-juta (orang)," tegas Sanusi memberikan amaran.

Dalam pada itu, TikTok juga mempunyai banyak klip video yang didakwa menggambarkan orang bukan Islam memetik ayat-ayat al-Quran sama ada semasa ceramah PAS atau PN.

Pemuat naik klip video berkenaan mendakwa bahawa ini adalah contoh bagaimana PAS akan bersorak jika penyokong bukan Islam mereka memetik ayat al-Quran, tetapi menyerang tokoh bukan Islam dan pemimpin DAP yang melakukan perkara yang sama.

Pun begitu, identiti atau status agama individu ini yang digambarkan dalam klip video tersebut tidak boleh disahkan secara bebas.

@asratmalaysia PERSOALAN PENTING UNTUK DIJAWAB OLEH PARA MUFTI Sebagaimana ulasan Menteri Agama isu Howard menyunting ayat AQ dalam perkongsiannya, diminta para mufti keluarkan SOP khas untuk semua. Maka diharapkan mana mana pihak yang mengambil peluang atas tiket parti muhasabah juga apa yang pernah dilakukan. Henti mempolitikkan dan serahkan pada pihak Mufti menjawab. Islam ini agama pendamaian dan berlaku adillah pada semua bangsa tidak kira di pihak parti mana sekalipun. Janganlah kerana kepentingan politik, menjadikan mereka yang non-muslim menjauhi islam malah bersangka sangka. Ini Negara Kita, Jaga Sama Sama! #CapCut #fyp #fypシ #pas #MalaysiaMADANI #malaysiatiktok #foryoupage #politikmalaysia #fypシ゚viral #tiktok #malaysian ♬ Instrument Sholawat Sedih - INDRAGE