'MCMC jangan tuding media, kekecohan di parlimen siaran langsung'
Sekumpulan tokoh wartawan mengkritik tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kerana "menyalahkan" portal MalaysiaNow berhubung laporan berkaitan kekecohan yang tercetus di Dewan Rakyat pada Selasa (19 Sept).
Kata mereka, tidak adil dan tidak boleh diterima untuk MCMC menuding jari ke arah portal itu atas 'kekecohan' di Dewan Rakyat yang disiarkan secara langsung dan ditonton orang ramai, dengan rakaman insiden itu boleh didapati di media sosial.
Artikel yang menjadi pertikaian mengenai perbalahan antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, yang menyebabkan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin disingkirkan daripada Dewan Rakyat.
“Alasan MCMC bahawa beberapa pelaporan telah 'dijadikan senjata untuk memanipulasi kandungan serta mencetuskan rasa tidak hormat dan naratif yang mengelirukan' sebenarnya menimbulkan lebih banyak persoalan.
"Bilakah masanya membuat laporan peristiwa yang berlaku menjadi satu kesalahan di negara ini?
"Dalam konteks ini kami berpendapat MCMC tidak seharusnya memberikan kuliah tentang apa itu pelaporan yang tepat,” kata kenyataan bersama yang ditandatangani tokoh-tokoh media dan kumpulan wartawan pada hari ini.
Antaranya ialah bekas pengerusi Media Prima Bhd dan tokoh wartawan negara Johan Jaafar, bekas ketua pengarang kumpulan NSTP Bhd A Kadir Jasin, bekas pengerusi Bernama Azman Ujang, pengasas Kumpulan Karangkraf dan bekas pengerusi Hussamuddin Yaacub dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia Chamil Wariya.
Selain itu NGO prokebebasan akhbar, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) juga turut menandatangani kenyataan ini.
Pada 22 Sept, MCMC mewajarkan tuntutannya supaya MalaysiaNow menarik balik artikel yang diterbitkan oleh portal itu, yang pada masa berita ini ditulis, masih mengabaikan permintaan tersebut.
MCMC berkata artikel berkenaan telah melaporkan prosiding parlimen di luar konteks dengan niat untuk "menyebarkan kebencian dan mencetuskan provokasi."
Suruhanjaya itu bimbang beberapa pelaporan media "menyebarkan maklumat salah" yang "telah dijadikan senjata untuk memanipulasi kandungan, serta mencetuskan rasa tidak hormat dan naratif yang mengelirukan."
Sehubungan itu, organisasi media digesa mematuhi garis panduan kandungan MCMC.
'Pemahaman cetek'
Bagaimanapun, veteran media berpandangan maklum balas daripada MCMC mencerminkan kedangkalan pemahaman tentang peranan dan tanggungjawab media dan mendakwa suruhanjaya itu "berselindung di sebalik Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk mewajarkan kewujudannya."
"Kami berpendapat MCMC sengaja mencari musuh yang salah bagi mewajarkan tindakannya. Pengamal media rata-rata memahami tanggungjawab mereka serta dipandu oleh profesionalisme dan etika kewartawanan.
"Masalah yang dihadapi oleh MCMC dalam menangani media sosial tidak harus dijadikan alasan untuk membendung hak pengamal media menjalankan tugas mereka,” kata kenyataan mereka lagi.
Mereka juga mengingatkan MCMC bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim sering kali menekankan keperluan media yang bebas dan bertanggungjawab serta berjanji untuk menerima kritikan yang membina dengan berlapang dada.
"Langkah MCMC kebelakangan ini sama sekali bertentangan dengan semangat YAB Perdana Menteri yang mahu melahirkan suasana media yang kondusif untuk para pengamalnya bekerja tanpa ragu dan takut,” kata mereka lagi.
Awal hari ini, NGO hak asasi manusia Lawyers for Liberty juga mengkritik tindakan MCMC dan gesaan suruhanjaya itu agar media mengamalkan kewartawanan yang bertanggungjawab dan tidak menyebarkan kandungan yang dimanipulasi.
Penyelaras kempen LFL Nabila Khairuddin berkata kenyataan MCMC pada 22 Sept lalu merupakan ancaman kepada kebebasan bersuara dan melanggar Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, hak itu hanya boleh disekat seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang setakat yang perlu seperti yang dinyatakan dalam Perkara 10(2)(a), seperti atas tujuan demi kepentingan keselamatan, ketenteraman awam, atau moral.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai