Skip to main
Logo Malaysiakini

2 bekas PM, Hadi antara pemimpin utama turun Pelangai

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PRK PELANGAI | PN dijangka akan memperhebat gerak kerja 'serangan' mereka bagi merampas kerusi DUN Pelangai mulai minggu depan.

Hal itu kerana dua tokoh berpengaruh dijadual akan turun padang untuk membantu calon parti itu, Kasim Samat, yang berdepan dengan saingan tiga penjuru.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, antara tokoh utama yang dijadualkan berkempen untuk PN ialah pengerusi gabungan terbabit, Muhyiddin Yassin.

Katanya bekas perdana menteri itu dijangka turun berceramah pada 3 Okt nanti.

Sementara itu seorang lagi bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, dijadualkan membuat kemunculan pada malam kemuncak kempen.

"Muhyiddin akan turun (kempen) pada 3 hari bulan (Okt) bersama saudara (Mohamed) Azmin (Ali), Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seri Mohd Amar Abdullah.

"Dan Radzi Jidin yang bbaloh (bergaduh) baru-baru ini sampai habis kena keluar (Dewan Rakyat)," katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Adun Cheka berkata, dua presiden parti dalam PN turut akan membantu gerak kerja mereka iaitu Abdul Hadi Awang (PAS) dan Dominic Lau (Gerakan).

"Mereka ini (bekas) pembuat polisi, pernah duduk dalam kerajaan, tahu apa yang mereka buat," katanya.

Tuan Ibrahim dipetik ketika berceramah di Felda Chemomoi, dekat Bentong malam tadi.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Johari Harun dalam nahas pesawat udara ringan di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Sept sebagai hari penamaan calon dan 7 Okt sebagai hari pengundian.

Dalam PRU tahun lalu, Johari memenangi kerusi tersebut 7,308 undi dan dijarakkan sebanyak 4,048 undi dengan Kasim yang juga pencabar terdekatnya.

Pada PRU ke-14 (2018) Pelangai diwakili Adnan Yaakob.