Skip to main
Logo Malaysiakini

PANDUANKINI l Kenali undang-undang kontroversi Akta Hasutan 1948

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

PANDUANKINI l Akta Hasutan sekali lagi menjadi tumpuan orang ramai selepas penggunaan undang-undang yang kontroversi itu menimbulkan kebimbangan terhadap masyarakat dan ahli politik.

Dalam PanduanKini kali ini, Malaysiakini memaparkan asal usul akta itu dan isu-isu yang dikaitkan sejak ia diperkenalkan pada 1948.

Apa itu Akta Hasutan 1948?

Akta Hasutan ialah undang-undang era penjajah yang menjenayahkan ucapan yang mempunyai  “kecenderungan menghasut”.

Antara definisi kecenderungan menghasut dalam akta itu termasuk kecenderungan untuk membawa kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana Raja-raja Melayu, kerajaan, atau pentadbiran keadilan, untuk menggalakkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk berlainan, dan mempersoalkan sebarang keistimewaan, hak dan taraf yang ditetapkan atau dilindungi kepada orang Melayu, pribumi, dan Raja-raja.

Akta ini mula diperkenalkan oleh British pada 1948 dan kemudiannya dipinda selepas rusuhan 13 Mei 1969 untuk meluaskan skop batasan kebebasan bersuara.

Sekatan baharu itu juga mengatasi kekebalan parlimen.

Undang-undang itu sekali lagi dipinda pada 2015 untuk memasukkan hukuman penjara minimum tiga tahun dan membenarkan kerajaan menyekat media dalam talian yang dianggap berbaur hasutan.

Mengapakah ia dianggap sebagai "undang-undang zalim"? Apa salah dengan Akta Hasutan?

Akta Hasutan telah lama berdepan bantahan orang ramai termasuk ahli politik pembangkang kerana menyekat  kebebasan bersuara.

Menurut pengkritik, undang-undang itu bercanggahan dengan konsep demokrasi moden dan lazimnya  digunakan untuk membungkam atau menghukum perbezaan pendapat terhadap kerajaan.

Mereka juga berkata, undang-undang itu mencakupi ruang yang sangat luas serta samar-samar sehingga tidak jelas ucapan apa yang boleh dijenayahkan, dan ini  membukanya kepada penyalahgunaan daripada pihak berkuasa.

Sepanjang tahun, beberapa aktivis, wartawan dan ahli politik telah ditangkap atau didakwa di bawah Akta Hasutan. Ini, termasuk aktivis Hishamuddin Rais, artis grafik Fahmi Reza, kartunis Zunar, penerbit The Edge Ho Kay Tat, pengerusi kebangsaan DAP Lim Guan Eng, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, dan ramai lagi.

Dilaporkan pada Februari tahun ini bahawa 367 individu telah disiasat di bawah Akta Hasutan antara 2018 dan 2022.

Menurut masyarakat sivil, banyak negara yang mempunyai undang-undang seumpama itu telah lama memansuhkannya atau tidak lagi menggunakannya.

Ini termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, New Zealand dan Australia. Pada 2021, Singapura juga memansuhkan undang-undang hasutannya.

Apakah yang dilakukan terhadap Akta Hasutan sebelum ini?

Selain daripada pindaan, terdapat usaha untuk memansuhkan Akta Hasutan di negara ini.

Bekas perdana menteri Najib Razak juga pernah berjanji untuk memansuhkan undang-undang itu semasa penggal pertamanya berkuasa.

Bagaimanapun, dia tidak menepati janji itu tetapi sebaliknya memperkukuhkan akta tersebut dengan pindaan 2015.

Pakatan Harapan (PH), yang mula berkuasa pada 2018 selama 22 bulan sebagai kerajaan, juga berikrar untuk memansuhkan undang-undang yang menindas itu dalam manifesto pilihan raya ke-14.

PH secara ringkas mengenakan moratorium ke atas kes Akta Hasutan pada Oktober 2018 tetapi menariknya balik tidak lama kemudian.

Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) pada 2020 juga menyatakan bahawa ia "komited untuk menambah baik undang-undang keselamatan termasuk... Akta Hasutan", tetapi tiada usaha dibuat ke arah itu.

Pada 2022, gabungan PH sekali lagi membuat janji yang sama dalam manifesto pilihan raya PRU15 pada 2022 untuk memansuhkan undang-undang berkenaan.

Apakah pendirian kerajaan semasa?

Kerajaan semasa, yang merupakan gabungan PH, BN, Gabungan Parti Sarawak, dan Gabungan Rakyat Sabah, pada dasarnya bersetuju untuk mengkaji pindaan Akta Hasutan 1948. Ini bagi memastikan undang-undang tersebut hanya digunakan untuk melindungi institusi diraja daripada tindakan provokasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said juga berkata kerajaan sedang menimbang undang-undang baharu untuk mengenakan hukuman kepada mereka yang memainkan sentimen 3R (kaum, agama, dan raja).

Katanya, buat ketika ini, sebarang kesalahan membabitkan isu 3R disiasat di bawah Akta Hasutan.

Bagaimanapun, kerajaan nampaknya tidak melakukan sebarang usaha untuk memansuhkan Akta Hasutan.

Sebaliknya, pihak berkuasa menggunakan Akta Hasutan dalam beberapa kes berprofil tinggi baru-baru ini.

Apakah kes terbaru Akta Hasutan berprofil tinggi?

Kes berprofil tinggi terkini penggunaan Akta Hasutan ialah pertuduhan terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Pemimpin PAS itu didakwa di bawah Akta Hasutan pada Julai lalu berhubung ucapan yang dibuatnya pada perhimpunan PN. Dia dilaporkan mengeluarkan kata-kata yang boleh mencetuskan ketidaksetiaan terhadap raja-raja.

Sanusi mendakwa pentadbiran persekutuan menggunakan agensi penguatkuasaan untuk menutup mulutnya. Ini terutama ketika dia didakwa beberapa minggu sebelum enam pilihan raya negeri.

Dalam menjawab kes hasutan Sanusi, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan cuba mengelak menggunakan akta itu kecuali apabila ia menyentuh kedudukan raja-raja.

Semalam, pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin mula menjalani hukuman penjara sembilan bulan berhubung kes hasutan 2014 yang dikaitkan dengan sultan Selangor.

Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya untuk mengurangkan hukumannya tetapi tidak membenarkan rayuannya untuk membatalkan sabitan.

Mahkamah rayuan juga sebelum ini menolak permohonannya untuk merujuk isu perlembagaan bagi pertuduhan menghasutnya ke Mahkamah Persekutuan.