Skip to main
Logo Malaysiakini

'Bukti' Islam tak terancam, MB bangkit enakmen tangani murtad di Pahang

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail menyangkal dakwaan PAS bahawa Islam terancam apabila BN bekerjasama dengan PH, dengan membangkitkan enakmen yang telah diluluskan kerajaan negeri untuk menghalang murtad.

Naib presiden Umno itu berkata enakmen itu, yang diluluskan DUN pada 2020, turut disokong Young Syefura Othman dari DAP yang ketika itu menjadi Adun Ketari.

"(Pembangkang dakwa) Pahang akan jadi negeri sekular. Mereka kata Pahang ini tak Islamik.

"Selepas saya jadi menteri besar, kita buat enakmen (tangani) murtad di Pahang. YB Rara (Young Syefura) boleh sahkan, dia pun sokong (ketika itu).

"Maknanya dulu orang Melayu Islam di Pahang ini, tiada mana-mana peraturan boleh halang (mereka) keluar daripada Islam.

"Tetapi dengan bantuan kawan-kawan Exco dan Adun, (Pahang ada undang-undang) boleh tangkap dan nasihat dia (jika) nak keluar Islam," katanya ketika berucap di Karnival Buah-buahan di Dataran Pelangai, Bentong hari ini.

Difahamkan Wan Rosdy merujuk Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Pindaan) 2020 yang dibentang dan diluluskan di DUN Pahang tiga tahun lalu.

Pindaan itu antara lain menyatakan mana-mana orang Islam yang ingin keluar daripada Islam untuk dinilai Jawatankuasa Penasihat Akidah yang akan menentukan jika pemohon tersebut bukan beragama Islam.

Jika pemohon didapati beragama Islam, enakmen memberi kuasa kepada Ketua Pendaftar Penentuan Status Muslim untuk mengarahkan individu itu menjalani "proses nasihat" dan "proses taubat".

Dalam ucapannya, Wan Rosdy menggesa pengundi di Pelangai tidak terpengaruh dengan pembangkang, termasuk dakwaan Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor bahawa pada masa akan datang "apek pakai seluar pendek" yang akan mengajar agama di masjid jika BN dan PH terus memimpin.

Pembohongan, tak ada modal’

Dia menyifatkan serangan Sanusi itu sebagai pembohongan serta "tidak logik dan tidak masuk akal".

"Dia cakap begitu sebenarnya nak wujudkan sentimen atau persepsi kononnya sebab Umno baik dengan masyarakat Cina, nanti apek boleh baca khutbah," katanya.

Muhammad Sanusi

Katanya, kerajaan Pahang setakat ini berkhidmat dengan baik termasuk dalam soal ekonomi, justeru pemimpin PN tiada pilihan selain bermain dengan sentimen ketika berkempen.

"Saya bimbang sebab pada PRU lalu mereka berjaya wujudkan persepsi dan sentimen.

"Mereka takut, kalau tengok prestasi kita di Pahang, mereka tak ada modal.

"Jadi dia bercakap nak menakut-nakutkan orang supaya jangan sokongan BN dan kerajaan perpaduan," katanya lagi.

Dalam beberapa ceramah PN di Pelangai, Sanusi membayangkan Islam kini terancam selepas BN bekerjasama dengan PH bagi menubuhkan kerajaan di peringkat persekutuan dan beberapa negeri.

Dia antara lain membangkitkan tindakan Ahli Parlimen Ipoh Timor daripada DAP, Howard Lee yang memetik terjemahan sebahagian daripada ayat 59 surah an-Nisaa'.

Saunsi mendakwa Lee yang "tidak bersunat" telah menghina Islam kerana dia bukan Muslim dan tidak berkelayakan untuk menafsirkan ayat al-Quran.