Skip to main
Logo Malaysiakini

Exco Melaka terjah kilang beras, misi cari 'tunggul'

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Isu kekurangan bekalan beras sejak awal September lalu menjadi perhatian umum dengan beras putih tempatan dilaporkan sukar diperoleh di kedai dan pasar raya.

Sebagai penyelesaian jangka pendek, kerajaan memasukkan beras import - yang tidak dikenakan harga siling dan lebih mahal daripada beras tempatan - dalam program jualan Rahmahnya.

Menyedari rakyat yang masih sukar mendapatkan beras tempatan, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka Dr Muhamad Akmal Saleh bertindak membuat pemeriksaan secara mengejut di kedai dan kilang di negeri itu.

"Saya mulakan (pemeriksaan) di kedai. Selepas itu pemborong, kemudian pengilang dan lepas ini kita akan tengok (tindakan susulan).

"Kita nak tengok dekat mana tunggul (halangan yang menyebabkan kurangnya bekalan) yang ada,” katanya kepada Malaysiakini.

Dalam video berdurasi kira-kira tiga minit yang tular di media sosial, Akmal dilihat bersikap tegas dengan salah seorang pengilang yang didakwa enggan menjual beras tempatan, dengan harga ditetapkan RM26 untuk kampit 10 kilogram.

Rakaman yang dimuat naik di Facebook Muhamad Akmal itu memaparkan pihak pengilang enggan mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan kerana atas alasan margin keuntungan yang kecil berbanding menjual beras import.

"Ini arahan kerajaan, kalau awak cakap rugi, saya tarik awak punya lesen kita bagi orang lain hantar," kata Akmal.

Menerusi perkongsian di Facebook, Akmal telah membuat pemeriksaan mengejut sejak minggu lalu.

Semalam, pemeriksaan melibatkan dua kilang beras di Kawasan Perindustrian Krubong pasar raya di Melaka Tengah.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Adun Merlimau itu menyatakan kekesalannya dengan pihak yang ingkar dengan penetapan harga RM2.60 sekilogram, seperti dinyatakan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

“Arahan yang dikeluarkan oleh kementerian untuk rakyat tak sampai sebenarnya kepada rakyat.

“Jadi bila di tengah-tengah ini ada tunggul (halangan), nak tak nak tugas saya adalah untuk memastikan semua itu dilaksanakan dan sampai kepada rakyat," katanya lagi.

Akmal berkata amat penting untuk rakyat tahu punca sebenar kekurangan bekalan beras putih tempatan.

"Dengan data daripada Jabatan Kawalselia Padi Dan Beras (ELPPB), kita nak pastikan jumlah yang masuk ke Melaka dan berapa yang dibungkus semula. Jumlah itulah yang perlu dijual kepada rakyat.

"Kalau tak cukup beras sekalipun, rakyat akan kurang marah berbanding (merasakan) ditipu, yang sebenarnya stok disorokkan," katanya lagi.

'Sampai periksa invois'

Bagi memastikan tiada unsur seperti menyorokkan beras, Akmal berkata pihaknya membuat pemeriksaan dengan teliti.

"Misalnya pengilang dapat berapa metrik tan padi dan dia keluarkan berapa metrik tan beras. Daripada situ, berapa metrik tan yang dibungkus dan dihantar ke mana.

"Katakanlah dia hantar 50 kampit ke sebuah kedai, kita akan jejak kedai itu dan periksa bila beras dihantar dan bila habis dijual.

"Kita akan tengok invois kedai itu. Sampai begitu sekali saya buat," tegas ketua Pemuda Umno itu.


Pakar: Perubahan iklim antara faktor utama jejas bekalan beras

Mat Sabu: K’jaan perlukan masa, alasan kukuh pecahkan monopoli beras


Akmal berkata tindakan yang diambilnya itu penting bagi memberi isyarat kepada pihak yang terlibat dalam rantaian bekalan beras.

Katanya lagi, dia juga merancang untuk menjalankan pemeriksaan bersama-sama pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan pihak berkuasa tempatan.

"Semua pihak kena bantu...(Menerusi pemeriksaan mengejut) saya nak beritahu kepada rakyat apa sebenarnya berlaku. Menteri di atas juga kena tahu apa sebenarnya berlaku.

"Kadang-kadang laporan yang kita dapat mengatakan beras cukup tapi realitinya berbeza. Jadi inilah buktinya, saya buat video ini. Saya bagi tahu inilah sebenarnya yang berlaku," katanya.

Pada masa sama, Akmal memberi amaran bahawa tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingin mengaut keuntungan besar daripada kesukaran yang dihadapi rakyat.

“Saya mohon kepada semua pihak, sama ada pekedai, peruncit dan pengilang, di saat krisis kita kena bekerjasama untuk membantu rakyat.

“Mungkin ada pengilang kata untung tak banyak. Tetapi mereka tetap untung.

"Jika saya dapati ada pihak yang sorok beras, atau menipu ketika pembungkusan beras, saya tak akan berkompromi. Kita akan ambil tindakan yang sangat tegas kepada mereka," katanya lagi.