Skip to main
Logo Malaysiakini

Sokongan Melayu meningkat jika BN menang di Pelangai - Mat Sabu

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sokongan orang Melayu kepada Kerajaan Perpaduan akan meningkat jika BN menang di Pelangai, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Jelasnya peningkatan sokongan pengundi Melayu kepada Kerajaan Perpaduan telah diterjemahkan pada dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor baru-baru ini.

"Pilihan raya di Simpang Jeram dan Pulai, alhamdulillah kita nampak orang Melayu terutama sekali pulang balik dan mengundi Kerajaan Perpaduan ini.

"Ini satu petanda yang baik, insya-Allah pada 7 Okt ini kita menang Pelangai orang Melayu akan banyak lagi kembali menyokong kerajaan perpaduan ini," katanya pada ceramah di Machis, dekat Bentong, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Agung Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Johari Harun dalam nahas pesawat ringan yang di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Okt sebagai hari pengundian bagi PRK ini.

Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, PN dan Bebas.

Pada pilihan raya umum lalu Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

Sementara itu Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu mengingatkan pengundi PH tiada logo parti itu mahupun roket (DAP) di Pelangai.

"Pilihan raya ni kita tak ada (logo) roket tahu...untuk orang Amanah yang ramai juga di sini kita tidak ada logo tiga segi (PH). (Hanya ada) dacing (BN) tu.

"Di sini setiap yang undi PH (dalam) pilihan raya November lalu, lebih 2,000 undi dulu, jangan sorang pun tak undi BN," katanya lagi.