Skip to main
Logo Malaysiakini

PN tak perlu guna isu DNAA Zahid untuk kempen - Shahidan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PRK PEANGAI: PN tidak perlu menggunakan isu keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi untuk berkempen.

Sebaliknya, kata pemimpin PN Perlis Shahidan Kassim, gabungan itu hanya perlu fokus kepada satu isu utama yang melanda negara ketika ini iaitu peningkatan harga barangan.

"Tak, modal kempen saya satu saja, beras naik, barang naik, itu saja. Isu yang payah-payah terpulang kat orang lain lah.

"Saya, isu saya mudah, pertama (saya) nak puji bekas wakil rakyat dulu, bekas menteri besar Pahang (Adnan Yaakob) dia berjasa kepada orang Pelangai. Tapi malangnya dia sendiri tak puas hati dengan Umno sekarang ini," katanya.

"Yang penting kami bukan nak kalahkan Umno, bukan nak kalahkan sesiapa, kami nak perjuangkan nasib orang-orang Melayu, peneroka Felda," katanya kepada Malaysiakini ketika berkempen di Pelangai hari ini.

Shahidan merujuk kepada bekas Adun Pelangai selama lapan penggal Adnan Yaakob yang baru-baru ini mendakwa Umno akan lenyap tidak lama lagi susulan kekalahan teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Menerusi satu video berdurasi 25 saat yang tular, bekas menteri besar Pahang selama empat penggal antara 25 Mei 1999 dan 15 Mei 2018 itu berkata prestasi Umno makin merudum sekali gus dilihat tiada peluang untuk bangkit semula.

"Umno pun dah nak bungkus dah, bungkus lipat,” kata Adnan pada rakaman video Ogos lalu, ketika Adnan dilihat hadir memberi sokongan kepada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 15 Ogos lalu, mahkamah melepas dan membebaskan Muhyiddin atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi Bersatu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Sept pula melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi

Keputusan itu dibuat selepas melalui 77 hari proses perbicaraan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Dusuki Mokhtar yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Sementara itu, Shahidan berkata kesatuan orang Melayu boleh bermula di Felda pada pilihan raya kali ini.

"Orang Felda sekarang bukan soal Pelangai, tapi kesatuan Melayu ini boleh bermula dari Felda. Sebab Felda ni kesemua orang Melayu.

"Saya cakap tentang perpaduan Melayu tak salah apa," katanya lagi.