Skip to main
Logo Malaysiakini

Bomba Sabah guna heli hantar bekalan makanan ke Pensiangan

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menjalankan misi menghantar bantuan bakul makanan kepada kira-kira 500 penduduk di lapan kampung dekat Pensiangan yang terputus bekalan susulan tanah runtuh sejak 5 Sept lepas.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah dalam kenyataan memaklumkan bantuan bakul makanan seberat 13 tan itu dihantar menggunakan helikopter jenis Mi-171 JBPM dan AIW 139 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Nabawa dan sebuah badan bukan kerajaan Forces of Love.

Sebanyak 33 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam misi bantuan yang diketuai Pengarah JBPM Sabah Abdul Razak Muda.

"Misi ini adalah program kerjasama JBPM Sabah dan "Misi ini adalah program kerjasama JBPM Sabah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Nabawan dan Forces of Love bagi menyelaras bantuan secara teratur untuk penduduk mangsa bencana pedalaman setempat daerah terbabit.

"Ia telah dijalankan dua kali. Misi pertama pada 12 Sept dengan sebanyak 2.3 tan bantuan makanan diagihkan kepada penduduk terjejas menggunakan pengangkutan air," menurut kenyataan itu.

Lapan kampung yang terjejas ialah Kampung Kabu, Kampung Saliliran, Kampung Siatu, Kampung Simohong, Kampung Karampalon, Kampung Babayasing, Kampung Dobolon dan Kampung Sibangali.

Kampung-kampung berkenaan telah terputus hubungan akibat tanah runtuh sehingga menyebabkan beberapa jalan raya tidak dapat dilalui oleh kenderaan darat dan agak berbahaya sekiranya menggunakan kenderaan air.

- Bernama