Skip to main
Logo Malaysiakini

Rombak kabinet? Saya fikir dulu, kata Anwar

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Berikutan spekulasi yang mengatakan akan ada rombakan besar-besaran kabinet Anwar Ibrahim, perdana menteri itu hari ini mendedahkan bahawa dia akan pertimbangkan perkara itu,

“Saya fikir dulu, saya fikir dulu,” katanya kepada pemberita secara ringkas selepas menghadiri majlis penutupan Sidang Kemuncak ICT Huawei Malaysia di Pusat Perdagangan & Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec) di Kuala Lumpur hari ini.

Dia sebelum itu diminta media mengulas khabar angin berkenaan.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bahawa Anwar dikatakan sedang merencana rombakan kabinet besar

Hari ini, sumber di Jabatan Perdana Menteri berkata bahawa kemungkinan rombakan kabinet akan menyaksikan pemimpin dari peringkat negeri dinaikkan ke jawatan persekutuan.

Sumber itu mendakwa rombakan itu hanya akan dilakukan selepas berakhirnya pilihan raya kecil Pelangai pada 7 Oktober dan "sekurang-kurangnya seorang menteri besar dijangka dinaikkan pangkat kepada kerajaan persekutuan".

Sebelum itu, sebuah portal berita melaporkan spekulasi mengenai rombakan kabinet bagi menggantikan menteri yang berprestasi rendah.

Laporan itu juga mendakwa rombakan itu akan melibatkan ketua setiausaha dan ketua pengarah di beberapa kementerian.

Semalam, empat ketua setiausaha telah ditukarkan untuk menerajui jawatan baru dan seorang yang baru dilantik.

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, dalam satu kenyataan, berkata ketua setiausaha yang terlibat dalam penggiliran tugas ialah Zaini Ujang daripada Kementerian Sumber Manusia kepada Kementerian Kesihatan; Isham Ishak daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri kepada Kementerian Pertahanan; Azman Mohd Yusof daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kepada Kementerian Perpaduan; dan Noridah Abdul Rahim daripada Kementerian Perpaduan menjadi ketua pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian Hariril Yahri Yaacob dilantik sebagai ketua setiausaha baru kementerian itu bagi menggantikan Isham.