Skip to main
Logo Malaysiakini

MP persoal projek laluan basikal DBKL bernilai RM10.5 juta

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Projek laluan basikal dan laluan pejalan kaki Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sedang dijalankan di Kepong mendapat perhatian daripada Ahli Parlimennya Lim Lip Eng.

Ahli parlimen DAP itu berkata walaupun dia memuji hasrat kerajaan menggalakkan gaya hidup aktif dan pengangkutan rendah karbon, namun ia gagal memikirkan aspek praktikal projek bernilai RM10.5 juta itu.

Dia berkata kerajaan sepatutnya mempertimbangkan faktor cuaca dan kebimbangan keselamatan jalan raya sebelum meneruskan pembinaan laluan sepanjang enam kilometer itu.

“Di Kuala Lumpur, cuaca sangat panas. Anda berpakaian kemas dan memakai minyak wangi, tetapi sebaik sahaja anda menunggang basikal ke tempat kerja, anda berpeluh.

"Tiada siapa yang mahu berbuat demikian,” kata Lim.

Dia memberi contoh seorang kakitangannya yang boleh berjalan kaki ke pejabat dalam masa 15 minit tetapi sebaliknya menggunakan perkhidmatan e-hailing. Dia hanya berjalan kaki pulang selepas kerja.

“Saya bertanya kepadanya mengapa, dan dia berkata berjalan ke pejabat membuatkan dia berpeluh,” kata Lim.

Keselamatan lalu lintas

Lim juga membangkitkan kebimbangan mengenai keselamatan lalu lintas.

Walaupun dengan lintasan zebra, pemandu Malaysia sering mengabaikannya dan tidak akan memberi laluan kepada pejalan kaki.

"Sama ada rancangan ini akan menjadi 'gajah putih' atau pembaziran dana awam, orang ramai boleh menjadi saksi," katanya.

Lim turut menyoal kos pembinaan projek itu yang tinggi.

Gambar hiasan.

“Anda boleh membuat pengiraan sendiri: RM10 juta dibahagikan dengan 6km. Ia satu pembaziran wang.”

Menurut Lim, DBKL telah meluluskan 21 projek di Kepong, antaranya membina laluan pejalan kaki dan basikal.

“Kuala Lumpur ada 10 kawasan pilihan raya. Jika setiap kawasan mempunyai rancangan yang sama, berapakah jumlah wang RM10.5 juta kali 10 itu,” soalnya.

Lim berpendapat menteri berkenaan atau perancang bandar tidak mengadakan sesi penerangan dan mendapatkan maklum balas awam sebelum meneruskan projek itu.

“Saya tidak tahu menteri, datuk bandar atau pegawai mana (yang buat)...

"Adakah mereka melibatkan pengguna jalan raya seperti peminat basikal, dan persatuan penduduk, apabila mereka mencadangkan rancangan itu?

"Adakah mereka berunding dengan mereka sebelum melaksanakan rancangan RM10.5 juta untuk sepanjang enam kilometer ini," soalnya lagi.

Lim berkata demikian semasa sidang media pagi tadi di tapak projek berkenaan yang turut sama menjemput kehadiran pegawai DBKL dan perunding projek untuk memberi maklum balas.

Pegawai DBKL itu menjawab pembinaan bermula pada September 2022 dan dijangka siap pada 21 Dis tahun ini, untuk tempoh satu tahun tiga bulan.

Status projek

Lim turut meminta pegawai berkenaan memberikan maklumat terkini mengenai status dan kemajuan projek itu kepada media.

Pegawai itu yang enggan dinamakan menjelaskan laluan sepanjang enam kilometer itu dibahagikan kepada tiga bahagian.

Bahagian pertama melibatkan segmen 2.3km bermula dari Jalan 11A, Kampung Melayu. Segmen kedua sepanjang 1.7km melalui Jalan Metro Perdana Barat di Kepong Baru. Segmen ketiga pula sepanjang 2km, menghubungkan ke stesen MRT Kepong Baru.

Bagaimanapun, projek itu hanya menyediakan laluan pejalan kaki dan basikal di kedua-dua belah jalan dalam segmen kedua. Bagi segmen pertama dan ketiga, laluan akan dibina hanya di sebelah bahagian jalan sahaja.

Pegawai itu juga berkata, projek itu kini 65 peratus siap manakala baki 35 peratus dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

Menjawab soalan Lim mengenai mengapa tiada papan tanda untuk membezakan antara basikal dan laluan pejalan kaki, pegawai itu berkata isu itu akan diselesaikan apabila projek itu siap.

Memandangkan projek itu sudah lebih separuh siap, Lim mencadangkan supaya DBKL mempertimbangkan untuk menanam pokok di kedua-dua belah laluan atau membina atap teduhan.

"Siapa yang mahu menunggang basikal sambil terdedah kepada matahari," soalnya.

[Baca berita asal]