Skip to main
Logo Malaysiakini

Kastam gagalkan cubaan seluduh dadah bernilai RM2 juta di KLIA

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup 61 kilogram (kg) dadah bernilai kira-kira RM2 juta, yang disorokkan dalam tiga bungkusan yang diikrarkan sebagai alat ganti kenderaan, pada 5 Sept lepas di Terminal Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas, Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Wong Pun Sian berkata sebanyak 60 bungkusan plastik berwarna hijau mengandungi dadah jenis metamphetamine itu ditemukan ketika pemeriksaan dilakukan.

Dia dalam kenyataan hari ini berkata terdapat tulisan refined chinese tea dan beberapa tulisan lain dalam bahasa Mandarin pada bungkusan terbabit yang di dalamnya mengandungi serbuk kristal.

“Modus operandi adalah dengan cara mengikrar bungkusan sebagai alat ganti kenderaan dan menyembunyikan dadah dalam paket plastik teh bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya sambil menambah siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek yang terlibat.

Wong berkata siasatan awal mendapati bungkusan berkenaan akan dihantar ke alamat penerima di Kota Kinabalu, Sabah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan jumlah berat dadah itu, Wong berkata rampasan itu berjaya membanteras pengedaran bahan berbahaya terbabit kepada kira-kira 305,000 penagih.

-Bernama