Skip to main
Logo Malaysiakini

Pendakwaan petik 13 sebab batalkan pembebasan Muhyiddin

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Pendakwa raya mengemukakan 13 sebab rayuan mereka untuk membatalkan pembebasan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan salah guna kuasa.

Dalam petisyen rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan, hujah pendakwaan terutamanya tertumpu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah tersilap dalam melaksanakan bidang kuasa sedia ada untuk membenarkan permohonan presiden Bersatu itu untuk membatalkan empat pertuduhan jenayah.

Pada 15 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan pengerusi PN itu untuk dilepas dan bebaskan daripada empat pertuduhan.

Hakim memutuskan bahawa pertuduhan ke atas Muhyiddin adalah cacat, tidak berasas dan kabur serta tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.

Katanya, pertuduhan itu tidak mendedahkan butir-butir yang mencukupi mengenai kesalahan yang didakwa mengikut Akta SPRM 2009.

Justeru, tertuduh tidak dapat menyediakan arahan selanjutnya kepada peguam yang mewakilinya.

Mengikut salinan petisyen rayuan itu, timbalan pendakwa raya Mohd Dusuki Mokhtar berkata antara 13 sebab itu ialah Jamil telah terkhilaf dalam mentafsir undang-undang dan fakta.

Pestisyen itu berkata langkah tersebut pramatang kerana menghalang pihak pendakwaan daripada menunjukkan bukti dokumentari yang relevan dan keterangan saksi semasa perbicaraan penuh.

Pendakwaraya berhujah bahawa permohonan pembatalan Muhyiddin adalah menyalahgunakan proses mahkamah kerana perbicaraan penuh terhadap bekas perdana menteri itu masih belum bermula.

Dusuki mendakwa sebarang kecacatan yang didakwa dalam pertuduhan salah guna kuasa terhadap Muhyiddin bukanlah memudaratkan dan boleh diperbetulkan di mahkamah.

Pendakwa raya mendakwa Mahkamah Tinggi juga telah tersilap kerana Muhyiddin gagal membuktikan bahawa empat pertuduhan salah guna kuasa itu merupakan salah guna proses mahkamah.

Sebelum ini, Muhyiddin sebagai perdana menteri (ketika itu) didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff bagi parti itu.

Walaupun bebas daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan, namun Muhyiddin masih berdepan tiga lagi pertuduhan.

Pengerusi PN itu berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Muhyiddin didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di Kuala Lumpur antara 25 Feb 2021 dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.

[Baca berita penuh]