Skip to main
Logo Malaysiakini

Mat Kasim Karim bersara lepas 35 tahun khidmat dalam PDRM

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Selepas 35 tahun menabur khidmat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mat Kasim Karim bersara hari ini.

Majlis Paluan Berundur yang berlangsung di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di ibu negara turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Dilahirkan pada 5 Mei 1964, anak kelahiran Kuantan, Pahang itu memulakan kerjaya dalam PDRM sebagai Kadet Penolong Penguasa Polis (C/ASP) pada 28 Feb 1988 selepas menjalani latihan asas di Pulapol.

Mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Hayati Dali, beliau dikurniakan tiga cahaya mata terdiri daripada dua lelaki dan seorang perempuan.

Sepanjang kerjayanya, Mat Kasim telah memegang pelbagai jawatan termasuk sebagai Komandan Maktab Teknik PDRM Bakri, Johor pada 2016, Timbalan Pengarah Teknikal Operasi Jabatan Logistik dan Teknologi pada 2017.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kedah (2018), Ketua Polis Melaka (2019), Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman (2020) sebelum dilantik ke jawatan terakhirnya sebagai Pengarah JSPT pada September 2021.

Sebagai menghargai bakti ditabur Mat Kasim, lulusan Sains Komputer dari Universiti Teknologi Mara itu telah dikurniakan dengan pelbagai anugerah termasuk Darjah Kebesaran Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang, Darjah Kebesaran Pangkat Pertama Panglima Gagah Pasukan Polis dan Panglima Setia Pasukan Polis.

- Bernama