Skip to main
Logo Malaysiakini

Johor peruntuk RM78 juta persediaan hadapi banjir

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM78 juta bagi melakukan kerja-kerja pembersihan sungai, longkang dan kolam takungan air sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor (gambar, bawah) berkata gerak kerja dilakukan secara berfasa oleh 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini sejak tahun lepas.

Beliau berkata kerja-kerja itu termasuk di 100 kawasan hot spot banjir yang dikesan di dalam kawasan seliaan PBT, dengan kebanyakannya berada di daerah ini.

“Menerusi peruntukan berkenaan, kerja-kerja antaranya melibatkan pembersihan sungai, longkang dan kolam takungan air termasuk di kawasan perumahan.

“Kerja-kerja ini kita lakukan dengan kerjasama pelbagai pihak, termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran. Jadi ada antaranya yang boleh kita selesaikan dalam masa tiga hingga enam bulan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival UDA 2023 di Angsana Johor Bahru Mall di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang persediaan kerajaan negeri menghadapi kemungkinan banjir.

Berhubung pembinaan rumah mampu milik, Mohd Jafni berkata kerajaan negeri mengalu-alukan pemaju untuk bekerjasama membangunkan rumah berkenaan yang berharga RM300,000 ke bawah itu.

"Sebelum ini, pemaju risau kediaman mampu milik ini tidak terjual, tetapi kini mereka tidak perlu bimbang kerana kerajaan negeri akan bantu memasarkan hartanah terbabit, kita akan bantu jual kepada golongan sasar.

"Kita juga telah mengadakan pertemuan dengan 57 syarikat pemaju sebelum ini, dan daripada pertemuan itu, kita mendapat komitmen pembinaan sejumlah 14,000 unit kediaman rumah mampu milik di seluruh negeri ini,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama daripada pemaju dapat merealisasikan sasaran yang diletakkan kerajaan negeri untuk membina 30,000 unit rumah mampu milik menjelang 2026.

- Bernama