Skip to main
Logo Malaysiakini

Amirudin nafi spekulasi akan anggotai jemaah menteri

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menafikan spekulasi dia akan dilantik ke jawatan dalam kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dirombak.

Naib presiden PKR itu menjelaskan dia tidak mengetahui dari mana sumber khabar angin itu.

“Desas-desus mengatakan saya hendak ke kabinet ini sejak tahun 2022 dan saya sendiri tak dengar (sebarang perkembangan terbaru).

"Apapun, semua keputusan tersebut terletak kepada prerogatif perdana menteri,” katanya dipetik Utusan.

Amirudin dilaporkan berkata demikian selepas merasmikan Ekspo Hartanah dan Perumahan Selangor 2023 di Shah Alam hari ini.

Adun Sungai Tua itu juga dipetik berkata kerajaan negeri Selangor baru sahaja ditubuhkan dan dia berhasrat melaksanakan agendanya untuk rakyat.

Bagaimanapun, dia berkata Anwar akan berbincang dengan pucuk pimpinan parti dan kerajaan perpaduan sebelum melantik menteri baru.

Perbincangan mengenai rombakan kabinet bermula selepas jawatan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup kosong selepas kematian Allahyarham Salahuddin Ayub pada Julai lalu dan masih belum diisi.

Desa-desus tersebar mengenai siapa yang akan keluar dan dilantik ke dalam kabinet baru, selepas Anwar mengaku akan berfikir untuk merombak kabinet, tetapi kemudiannya menjelaskan dia tidak ada keperluan mendesak untuk berbuat demikian.

Pada Rabu, sumber di Jabatan Perdana Menteri berkata kemungkinan rombakan kabinet akan menyaksikan pemimpin dari peringkat negeri dinaikkan ke jawatan persekutuan.

Satu sumber mendakwa rombakan itu hanya akan dilakukan selepas berakhirnya pilihan raya kecil Pelangai pada 7 Okt dan "sekurang-kurangnya seorang menteri besar dijangka dinaikkan pangkat kepada kerajaan persekutuan".

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail semalam menafikan perbincangan mengenai kemungkinan pelantikan ke kabinet, berkata fokus utamanya kini untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil DUN Pelangai pada 7 Oktober.