Skip to main
Logo Malaysiakini

ESEI FOTO | Tabah melayari nasib yang tersurat

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ESEI FOTO | Berkongsi sepeket mi segera untuk mengalas perut sendiri, isteri serta lima orang anak antara pengalaman getir Mohd Azman Mohd Sharim ketika pandemik Covid-19 melanda.

Tetapi itu tidak membuat dia berputus asa begitu saja terutama apabila melihat ibu mentuanya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) gigih menjual belon di jalanan demi menyara kehidupan.

Mohd Azman, 36, mula berikhtiar untuk mencari jalan keluar daripada kemelut yang melanda. Dengan bermodalkan bantuan RM500 daripada Baitulmal, dia pun memulakan perniagaan menjual barang mainan kanak-kanak.

Namun, langit tak selalu cerah. Begitu juga pendapatannya di Pasar Wangsa Maju. Pada ketika tertentu nasib kurang menyebelahi dan dia terpaksa pulang tidak dalam keadaan yang diharapkan.

Katanya, dia hanya mampu meraih pendapatan antara RM40 hingga RM60 seminggu kerana mainan yang dijualnya tidak mendapat sambutan.

Sering kali ada saja bil yang tertunggak disebabkan pendapatan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarganya yang mencapai RM2,000 sebulan.

Mujurlah, dia mendiami rumah projek perumahan rakyat (PPR) di Taman Batu Muda, Sentul, yang hanya perlu bayaran RM125 sebulan.

Di situlah dia, isteri - Nor Aishah Mohamed Zakaria - dan lima anak mereka berteduh.

Biarpun, sering dihimpit masalah kewangan tetapi Azman tidak pernah patah semangat demi mencari rezeki dan melihat anak-anaknya membesar dan mendapat pendidikan yang baik.

Mohd Azman bersama isteri dan lima orang anak mereka yang berusia antara 1 hingga 14 tahun.
Antara barang mainan yang dijual
Semasa berjualan, anak-anak turut dibawa bersama
Di sinilah Mohd Azman sekeluarga berteduh dari panas dan hujan
Tiga daripada lima anak Mohd Azman bermain di kawasan rumah mereka
Ada besi ditanam pada tangan Mohd Azman kesan daripada kemalangan yang menimpanya pada 2005
Anak-anak Mohd Azman menyiapkan kerja sekolah
Nasi putih berlaukkan ikan goreng adalah antara hidangan yang lazim di rumah Mohd Azman
Mohd Azman dan keluarga menunggu pelanggan membeli mainan kanak-kanak yang dijual
Pada masa tertentu mereka meluangkan masa bersama-sama
Nor Aishah melayan anak bongsu mereka