Skip to main
Logo Malaysiakini

Wan Fayhsal: Gabungan BN-PH kerjasama munafik

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerjasama BN-Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan adalah “kerjasama munafik”, kata Ketua Pemuda Bersatu (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Secara sinis dia berkata kerjasama itu merupakan perancangan "cikgu dan anak murid" sekian lama.

"...Yang pertama, kerjasama hari ini adalah kerjasama munafik, hipokrit antara BN dan PH.

"Puncanya satu saja kerana hubungan baik cikgu dan anak murid, (Pengerusi PH) Anwar Ibrahim dan (Pengerusi BN) Ahmad Zahid Hamidi," katanya ketika ceramah di Pentas Anak Muda di Simpang Pelangai, malam tadi.

Hadir sama calon PN, Kasim Samat serta Timbalan Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Azamudden.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, dia yakin disebabkan kerjasama dua gabungan itu, ramai ahli Umno akan memberi sokongan kepada calon PN.

Dia juga yakin ramai orang Umno tidak selesa dan tidak bersetuju dengan kerjasama PH dan BN.

"Tapi apakan daya cikgu dan anak murid ini telah lama berpakat," katanya.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Johari Harun dalam nahas pesawat ringan yang di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Okt sebagai hari pengundian bagi memilih wakil rakyat baru kawasan itu.

Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, PN dan Bebas.

Pada pilihan raya umum lalu Allahyarham Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

PAS yang mewakili PN sekali lagi mempertaruhkan Kasim bagi merampas kerusi berkenaan dari Umno.