Skip to main
Logo Malaysiakini

PRK Pelangai: Generasi kedua Felda sokong BN, kata Ismail

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Generasi kedua Felda memberi isyarat positif kepada BN sepanjang tempoh kempen PRK Pelangai, kata bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Raub itu yakin sokongan generasi kedua Felda akan memihak BN dan bakal menobatkan calon mereka Amizar Abu Adam sebagai wakil rakyat baru kawasan itu.

"Felda nampak mood ke arah BN, jadi saya yakin bila mengundi nanti mereka akan mengundi kepada BN.

"Setakat saya ada di sini setiap kali program yang melibatkan golongan muda, ramai hadir. Jadi, kalau kira daripada itu sokongan (kepada BN) jelaslah.

"Tetapi kita tunggulah hari mengundi nanti," katanya ketika ditemui di Felda Sungai Kemahal, dekat Bentong, semalam.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata dia tidak tahu mengenai mood pengundi di kawasan kampung lain yang tidak dimasukinya.

Ini adalah kali ketiga Ismail Sabri turun berkempen di Pelangai dan memberi fokus kepada kawasan Felda.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, isu utama generasi kedua Felda ialah soal perumahan dan perkara itu telah diberi perhatian sewaktu menjadi perdana menteri.

"Felda ini di mana-mana isu orang muda ni hampir sama. Pertamanya (soal) perumahan generasi kedua. Tapi pada zaman saya dahulu kita dah ubah.

"Bukan kita nak jual rumah generasi kedua tapi kita jual lot tanah.

"Di Bera kita telah kenal pasti (lot tanah), di sini (Pelangai) saya tak pasti telah dikenal pasti ataupun tidak tanah untuk dijual kepada generasi kedua Felda," katanya.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Johari Harun dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, PN dan Bebas.

Pada pilihan raya umum lalu Allahyarham Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

PAS yang mewakili PN sekali lagi mempertaruhkan Kasim ataupun lebih dikenali sebagai Cikgu Kasim di kerusi berkenaan.