Skip to main
Logo Malaysiakini

Rombakan kabinet: Usah beri tekanan kepada PM, kata Johari

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Biar Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tentukan sama ada perlu melakukan rombakan kabinet atau sebaliknya, kata Naib Presiden Umno, Johari Abd Ghani

Jelas Ahli Parlimen Titiwangsa itu, rombakan kabinet adalah hak eksklusif perdana menteri dan dia tidak sepatutnya diberi tekanan oleh mana-mana pihak.

"Saya berpandangan dalam mana-mana kerajaan perdana menteri mesti ada hak eksklusif tak boleh bagi sebarang tekanan kepada perdana menteri kita.

"Saya secara peribadi sebagai ahli parlimen saya menyokong Kerajaan Perpaduan.

"Kita biarkan perdana menteri buat keputusan sama ada dia buat rombakan atau tak itu hal perdana menteri," katanya ketika ditemui di Sungai Bot, Telemong, dekat Bentong hari ini.

Johari hari ini turun bagi membantu kempen calon BN PRK DUN Pelangai, Amizar Abu Adam.

Sebelum ini media melaporkan bahawa perdana menteri dijangka akan melakukan rombakan Kabinet tidak lama lagi.

Johari serta Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Naib Presiden Umno antara nama yang disebut bakal menganggotai kabinet baru Anwar.

Semalam, perdana menteri memaklumkan yang beliau akan berbincang dengan Yang di-Pertuan Agong berhubung rombakan kabinet.

Sementara itu Johari berkata, tidak boleh mana-mana pihak memberi tekanan kepada perdana menteri serta kerajaan yang baru saja berusia tidak sampai setahun.

"Tidak boleh mana-mana pihak buat tekanan atau sebagainya sebab mengambil kira kerajaan (baru) 10 Bulan.

"Kita berdepan dengan ekonomi global secara besar, kemudian kita berdepan cara kerja dengan parti-parti yang ada dalam kerajaan perpaduan contoh DAP, PKR Umno dan Amanah," katanya lagi.