Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Tak perlu risau ada ramai polis jika kamu warganegara patuh’

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Kehadiran polis yang ramai semasa tempoh bekempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai adalah untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam, kata Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri Dalam Negeri itu berkata demikian bagi menjawab dakwaan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengenai kehadiran "luar biasa" anggota polis pada kempen Perikatan Nasional (PN) di Pelangai.

Saifuddin berkata tiada sebab perlu dirisaukan oleh pihak terbabit sekiranya mereka tidak menyentuh sensitiviti yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.

“Asal sahaja pihak terlibat mengambil bahagian dalam pilihan raya tak membangkitkan sentimen sensitif, tak mengapi-apikan semangat dan boleh menjejaskan perpaduan dan ketenteraman hidup rakyat, tak ada sebab untuk risau polis berada di situ.

"Tidak perlu risau jika mereka adalah warganegara yang patuh," katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu Takiyuddin menyatakan rasa kurang senang terhadap kehadiran "luar biasa" anggota polis pada setiap program yang dijalankan PN.

Dakwanya, ia menimbulkan keresahan kepada orang ramai dan tidak bagus untuk perjalanan demokrasi.

Kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lagi, ada anggota polis termasuk anggota Cawangan Khas (SB) yang memantau pergerakan calon PN, Kasim Samat.

Malah katanya lawatan dari rumah ke rumah juga menimbulkan rasa tidak selesa dan ketakutan kepada orang ramai.

Pada PRK itu, Kasim ditentang Amizar Abu Adam yang mewakili BN dan calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

Sementara itu Saifuddin memberi jaminan pihak polis bersikap profesional dan orang ramai tidak perlu bimbang dengan kehadiran mereka.

Tambahnya, tiada laporan dibuat membabitkan parti politik dihalang daripada berinteraksi dengan rakyat.

“Cuma yang dilaporkan ialah polis hadir untuk menjaga ketenteraman awam, yang itu pelik sikit,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin enggan mengulas sama ada dia akan kekal memegang portfolio KDN dalam spekulasi rombakan kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim.