Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Sambutan kepada calon PN sangat menggalakkan’

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Sambutan pengundi DUN Pelangai terhadap PN berbeza pada PRK kali ini berbanding, pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) lalu, kata Pengerusi PN Pahang, Saifuddin Abdullah.

Saifuddin berkata, mungkin disebabkan percaturan politik pihak lawan mula tidak disukai warga Pelangai yang sebelum ini merupakan kubu kuat BN.

"Bagi kita dalam PN, sambutan kepada calon iaitu cikgu Kasim (Samat) sangat menggalakkan dan kita lihat pada kali ini ada perbezaan daripada PRU yang lepas, ada riak sokongan daripada kumpulan yang agak baru.

"Mereka bukan pengundi baru tetapi sudah mengundi pada pru lepas tapi kali ini ada riak menunjukkan mereka dulunya tidak memberi sokongan kepada PN, mula menampakkan kemungkinan mereka atau kesediaan mereka untuk menyokong PN.

"Ini datang dari beberapa kumpulan, tak manis sebut daripada mana, tapi sebahagian daripada mereka meluahkan rasa tidak puas hati terhadap percaturan politik yang berlebihan yang dilakukan oleh pimpinan parti tertentu mereka ini, ada ahli parti dan bukan ahli parti, tetapi tidak puas hati mereka pada pimpinan tertentu," katanya ketika ditemui di Felda Chemomoi, dekat Bentong, semalam.

Saifuddin berkata dia turut yakin bahawa sokongan pengundi muda akan memihak kepada PN pada pengundian 7 Okt nanti.

Katanya, lebih kurang 50 peratus pengundi di kawasan Pelangai ini merupakan pengundi muda dan berdasarkan trend sebelum ini ia memihak PN.

Cikgu Kasim Samat yang mencuba nasib kali kedua bagi merampas kerusi berkenaan bakal berdepan cabaran calon BN, Amizar Abu Adam serta calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Sept sebagai hari penamaan calon dan 7 Okt sebagai hari pengundian.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Johari Harun dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, pada  17 Ogos lalu.

Mengulas mengenai sokongan pengundi Felda kepada PN, Saifuddin berkata parti itu mempertaruhkan rekod cemerlang Muhyiddin Yassin kepada Felda ketika menjadi perdana menteri sebagai pemangkin sokongan.

"Saya harap para pengundi Felda dia dapat menilai apa yang disumbangkan oleh PN kepada mereka secara individu terutamanya pada zaman  Muhyiddin menjadi perdana menteri.

"Saya fikir itu sumbangan sangat besar khususnya soal meringankan hutang peneroka Felda, di mana mereka pergi mereka masih ingat jasa Muhyiddin dan saya harap mereka akan terjemahkan hal itu dalam undian pada 7 Okt nanti," katanya lagi.