Skip to main
Logo Malaysiakini

Dakwaan 5 polis larikan orang awam berkait integriti

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Kurang integriti dan ada kepentingan diri dipercayai menjadi motif lima anggota polis ditahan berhubung dakwaan melarikan seorang lelaki dalam kejadian di sebuah kedai makan di Desa Petaling di Kuala Lumpur, Selasa lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata polis telah pun melengkapkan kertas siasatan berkaitan kes tersebut dan menunggu arahan dari Bukit Aman sebelum diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

“Memandangkan kes ini melibatkan anggota dan pegawai polis, kertas siasatan akan diserahkan kepada Bukit Aman terlebih dahulu, paling lewat minggu ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program 'Back to School' di Victoria Institution, di Kuala Lumpur hari ini.

Dia berkata kelima-lima anggota polis itu masih bekerja dan belum digantung tugas kerana tindakan itu akan hanya diambil seandainya mereka dituduh di mahkamah.

Jumaat lepas, media melaporkan lima anggota polis antara enam individu ditahan selepas disyaki melarikan orang awam dari sebuah kedai makan dan mangsa mendakwa dirinya dilarikan sekumpulan lelaki sebelum dipukul di suatu lokasi di Kuala Lumpur.

Suspek berusia antara 27 dan 42 tahun itu ditahan dengan lima daripadanya adalah anggota dan pegawai di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 365, Seksyen 342 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

-Bernama