Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Ancaman pada Islam bukan sekadar bakar al-Quran

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

ULASAN | Umat Islam mungkin boleh berbangga dengan sambutan Maulidur Rasul yang dipenuhi selawat dan perarakan memuji kepemimpinan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul yang membawa pencerahan sejagat.

Pada 28 Sept lalu seluruh dunia bagai bertafakur mengingati hari kelahiran baginda. Pada masa sama kita mungkin terlupa bahawa ada lebih 20 umat Islam cedera di Gaza angkara kekejaman rejim Zionis di bumi Palestin.

Pada tarikh sama ribuan gadis dan kanak-kanak dinafikan hak mereka untuk mendapat pendidikan sempurna di Afghanistan, manakala di Iran isu kebebasan yang termaktub dalam al-Quran dan hadis masih samar.

Banyak negara Islam di benua Asia dan Afrika masih terjebak dengan isu kemiskinan serta kebuluran ketika isu krisis makanan dan kemanusiaan terus diperdebatkan.

Di Malaysia pula isu takfiri masih menjadi perbualan umum apabila ada pihak yang berlagak sebagai wakil tuhan mengeluarkan 'fatwa' merendahkan pihak lain yang berlainan aliran perjuangan.

Ceramah politik dan media sosial dipenuhi cacian ketika ramai yang mendakwa ustaz atau penceramah agama menjadi pelawak di ruang solat masjid. Mereka tega berhujah tentang Islam ketika krisis akhlak menjadi sebahagian resam masyarakat.

Lebih malang pihak yang menentang mereka akan dianggap menentang Islam lalu menjadi kufur. Makna dan penghayatan perjuangan Rasulullah dipesongkan kononnya atas nama perjuangan Islam.

Hari ini umat Islam berjumlah hampir dua bilion orang di seluruh dunia. Populasi itu dijangka meningkat kepada 2.2 bilion pada 2030. Kajian Pew Research Center tentang agama dan kehidupan awam mendapati umat Islam di Asia dan Afrika mencapai tahap kesuburan yang tinggi.

Bagaimanapun kadar kelahiran tidak seimbang dengan produktiviti penduduk ketika inflasi menjadi sebahagian daripada ancaman global. Kemiskinan tidak dapat diatasi walaupun ada yang mendakwa mahu menoktahkan kemiskinan.

Hanya segelintir negara berpenduduk Muslim yang makmur serta maju dalam hal perekonomian dan industri. Itupun kebanyakan negara terbabit (misalnya Brunei atau negara Teluk) didukung oleh faktor sumber semula jadi alam yang melimpah, bukan sumber daya manusianya.

Kemiskinan dan keganasan

Kemiskinan adalah realiti di Pakistan, Sudan, Mesir, Bangladesh, Afganistan, Algeria, Maghribi, Mauritania, Chad, Azerbaijan dan Sierra Leone yang disebut negara Islam. Indonesia dengan lebih 300 juta penduduk pula masih dalam fasa pemulihan.

Data Bank Dunia menunjukkan sekitar 28 juta penduduk Indonesia masih berada dalam kategori hidup miskin dan lebih 100 juta pula bergelut membina kehidupan.

Kemiskinan sering dikaitkan dengan keganasan. Islamofobia tidak terkecuali dianggap keganasan agama. Mantan Presiden Amerika, Donald Trump pernah meluahkan: "Saya fikir Islam bencikan kita."

Ungkapan itu menjadi topik hangat media dan menjadi wacana umum.

Pelbagai insiden keganasan dikaitkan dengan Islam. Tuduhan kononnya Islam bertanggungjawab terhadap keganasan membawa kesan buruk. Pada Okt 2016, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menangkap kumpulan militan berhaluan kanan “Crusaders” di Kansas.

Mereka didapati menyimpan senjata, peluru dan bahan letupan serta berniat untuk menyerang kumpulan imigran beragama Islam.

Pada Ogos 2016, seorang imam dan pembantunya ditembak di kepala ketika sedang meninggalkan masjid di New York. Mereka ditembak oleh seorang lelaki yang pernah menzahirkan kebencian kepada umat Islam.

Pada Jun 2016, bom petrol diletupkan di luar sebuah masjid di Perth, Australia ketika ratusan jemaah sedang beribadat di dalamnya. Pada 2011, Anders Behring Breivik membunuh 77 orang di Norway untuk menarik perhatian khalayak kepada manifestonya yang menganjurkan perjuangan anti-Islam.

Ancaman terhadap Islam bukan sekadar membakar al-Quran di beberapa negara Eropah, bahkan sebarang isu yang membabitkan kepentingan Islam akan dikaitkan keganasan.

Perjuangan rakyat Palestin yang menuntut hak sendiri dianggap pengganas oleh rejim Zionis.

Lebih malang apabila tindakan ketenteraan terhadap umat Palestin dianggap kewajaran oleh beberapa negara monarki Arab. Justeru, tidak memeranjatkan banyak isu yang membabitkan kepentingan Islam dipandang sepi oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianggotai 55 negara.

Cebisan budaya

Ramai yang bertanya: sampai bila umat Islam terus ditindas sedangkan saban tahun mereka menyambut Maulidur Rasul dengan takwa dan tawaduk?

Isu ini sukar dijawab kerana isu kemiskinan dan keganasan masih menjadi imej sebahagian besar negara Islam, dan pada ketika sama negara Arab monarki kekal mengutamakan kepentingan telaga minyak demi kelangsungan sistem feudal mereka.

Lebih malang, muafakat ummah masih dipersoalkan. Umat Islam tidak sepakat menentukan hal-hal yang sepatutnya diselaraskan sejak dulu.

Isu perbezaan tarikh sambutan Ramadan dan Syawal antara negara, misalnya, masih diperdebatkan.

Soal ijtihad dan fatwa tentang bulan kebesaran beragama gagal diselesaikan sedangkan Arab Saudi sebagai penjaga dua kota suci Islam sepatutnya berperanan dalam menentukan kesepakatan Islam.

Tidak hairanlah apabila versi beragama menjadi polemik kerana ramai yang menggunakan nama Allah, rasul dan al-Quran dengan versi sendiri.

Lebih malang apabila agama hanya dianggap cebisan budaya dalam sistem sekular yang mendominasi dunia sekarang. Seperti kata Hamka, apabila Islam hanya kulit-kulitan, umat akan terus terdampar dalam kemiskinan dan keganasan!


IMLAN ADABI adalah wartawan dan sasterawan.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.