Skip to main
Logo Malaysiakini

Muhyiddin penyelesaian masalah Felda, kata Pemuda PN

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari mengingatkan pengundi Felda di Pelangai bahawa kini bukan lagi masa untuk bernostalgia dengan segala jasa Umno, BN.

Ahmad Fadhli mengingatkan peneroka mengenai budi Muhyiddin Yassin ketika menjadi perdana menteri dalam 'teori' penyelesaian hutang mereka kepada Felda.

"Kita tahu bagaimana jasa Muhyiddin sebagai perdana menteri Malaysia mewakili PN dari 2020 hingga 2021 yang mengemukakan teori penyelesaian hutang yang ditanggung oleh peneroka Felda.

"Dan ini perkara yang tidak boleh dinafikan walaupun tahu perdana menteri PMX hadir dengan pelbagai teorinya bahawa dialah yang menyelesaikan masalah, dialah yang mengemukakan penyelesaian, tetapi tuan-tuan pun tahu perkara yang tidak boleh dinafikan memberi penyelesaian kepada masalah (Felda ialah) Muhyiddin.

"Sekarang ini bukan lagi zaman untuk terhutang budi dengan Umno, BN.

"Saya tahu saya faham tuan-tuan yang ada di Felda khususnya saluran satu dan saluran dua rasa terhutang budi dengan Umno, BN. Kita rasa nak bayar balik jasa mereka," katanya dalam ceramah mega PN di Dataran Purnama, Simpang Pelangai, dekat Bentong, malam tadi.

Hampir 200 orang hadir ceramah berkenaan yang turut dihadiri beberapa tokoh PN yang lain termasuk Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Johari Harun dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Okt depan sebagai hari pengundian bagi memilih wakil rakyat baru kawasan itu.

Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, PN dan bebas.

Pada pilihan raya umum lalu Allahyarham Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata Umno kini sudah hilang hala tuju perjuangannya apabila terpaksa bekerjasama dengan DAP untuk meneruskan kelangsungannya.

"Minta maaflah bukan saya nak serang Umno, bukan saya nak perlekehkan Umno, BN tetapi di bawah kepimpinan Ahmad Zahid (Hamidi) hari ini Umno sudah hilang hala tuju dan sudah pun tenggelam jati dirinya.

"Mereka terpaksa berkongsi kuasa di peringkat nasional bahkan di peringkat negeri pun dengan orang yang selama ini mereka serang, mereka jadikan musuh," katanya lagi.