Skip to main
Logo Malaysiakini

PRK Pelangai: BN di depan tapi belum selesa

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PRK PELANGAI | Dalam satu ceramah di Felda Chemomoi minggu lalu, Timbalan Presiden Umno Mahamad Hasan menyatakan "gelombang hijau" - iaitu gelombang sokongan Melayu kepada PN - sebenarnya tidak wujud.

Bagi Mohamad, sokongan yang diberikan orang Melayu kepada PN dalam PRU dan PRN sebelum ini kebanyakannya adalah protes kepada Umno.

"Orang kata 'green wave' saya kata tak ada 'wave' sebenarnya. Sebenarnya banyak undi protes dan itu saja. Orang masih sayangkan dengan Umno, jadi Umno kita akan buat sesuatu untuk kita perkasakan," kata Mohamad.

Jika gelombang itu dapat disekat dua PRK di Johor - iaitu di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram - pada awal bulan lalu, di Pelangai ia dilihat jauh lebih perlahan.

Sekurang-kurangnya itulah yang dilihat sepanjang minggu pertama kempen.

Ceramah PN di Felda Chemomoi sehari selepas penamaan calon yang turut dihadiri Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man tidak mendapat sambutan.

Perkara itu diakui oleh calon PN Kasim Samat yang pada masa sama menyatakan dia lebih selesa untuk berkempen dari rumah ke rumah.

"Apabila kita buat seperti ceramah, ceramah kelompok saya tidak yakin ramai masyarakat tempatan yang hadir. Sebab kawasan ini dikenali sebagai kubu kuat Umno," katanya ketika ditemui di Felda Chemomoi, semalam.

Kasim Samat (kanan)

Berbeza dengan kehadiran ceramah, keputusan pada PRU lalu menunjukkan PN telah meraih sokongan di tiga Felda di Pelangai, iaitu Felda Chemomoi, Felda Sungai Kemasol dan Felda Sungai Kemahal.

Di pusat daerah mengundi (PDM) Felda Sungai Kemasul, 46.4 peratus pengundi memilih PN. Persaingan sengit turut berlaku di PDM Felda Chemomoi (46.60 peratus) dan PDM Felda Sungai Kemahal (44.54 peratus).

Sejumlah penduduk yang ditemui Malaysiakini turut memaklumkan perkara itu, antaranya Azmi Mohammad, 48, yang menyatakan pengundi muda lebih cenderung memilih PN.

"Di kawasan ini (Felda), saluran empat dan lima merupakan masalah. Ini adalah pengundi lebih muda yang bekerja di bandar," katanya yang juga presiden NGO Kami Anak Felda.


Baca lanjut: Bukan lagi 'deposit tetap' - Persaingan sengit BN dan PN di Felda Pelangai


Berdasarkan maklumat yang diberikan dua parti politik, DUN Pelangai dianggarkan memiliki kira-kira 2,000 pengundi luar, dengan kebanyakannya tinggal di Lembah Klang.

Hanya dua jam diperlukan untuk mereka pulang ke Pelangai. Justeru untuk mereka pulang mengundi pada 7 Oktober ini bukanlah sesuatu yang sukar.

Bagaimanapun, cabaran paling besar PN pastinya untuk meraih sokongan masyarakat bukan Melayu, yang merangkumi 28 peratus pengundi di DUN Pelangai.

Keputusan PRU lalu menunjukkan BN dan PH meraih jumlah undi yang lebih kurang sama di dua PDM majoriti bukan Melayu iaitu di Manchis dan Telemong, manakala PN ketinggalan jauh di belakang.

Menyedari cabaran ini, Kasim berkata dia akan menukar strategi kempen dengan memberi tumpuan kepada kunjungan rumah ke rumah.

"Kita akan pergiatkan lagi untuk mendekati mereka, mungkin secara ziarah (ke rumah) seperti mana kita buat di kawasan pengundi Melayu.

"Mungkin program ziarah lebih bermakna daripada program begini. Mungkin ada yang malu nak hadir, takut dilihat rakan-rakannya," kata Kasim ketika mengulas program sempena Pesta Tanglung di Telemong yang tidak mendapat sambutan pada Khamis lalu.*

Calon BN Amizar Abu Adam

Seperti kempen di Pulai dan Simpang Jeram, dua sasaran PN kekal sama, iaitu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan DAP. Zahid digambarkan sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai orang Melayu, dan Melayu-Islam terancam ekoran kerjasama Umno dengan DAP.

PN juga membangkitkan keperluan menambah wakil pembangkang di DUN Pahang, selain isu harga barang dan peneroka.

BN pula memainkan naratif kesinambungan pembangunan dan membangkitkan khidmat bekas Adun Pelangai Allahyarham Johari Harun yang meninggal dunia dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Naratif pembangunan memang sentiasa menjadi tema kempen parti pemerintah dalam mana-mana pilihan raya, antaranya dengan membangkitkan perlunya sesebuah kawasan itu diwakili oleh parti yang sama memegang kerajaan negeri mahupun persekutuan.

Meskipun di atas kertas BN dilihat selesa, kegusaran BN adalah sokongan pengundi luar serta majoriti yang akan diperolehi jika mengekalkan kemenangan.

Menteri Besar Pahang merangkap Pengarah Pilihan Raya BN Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini mengakui yang sokongan kepada calon BN bagi PRK Pelangai masih belum memuaskan.

"...Selaku pengarah pilihan raya saya mendapat banyak laporan dan laporan yang saya terima hari ini masih tidak memihak kepada kita. Setakat hari ini keadaan tidak begitu memuaskan lagi," katanya.

Tinggal empat hari lagi sebelum hari mengundi pada 7 Oktober ini, keadaan dijangka menjadi lebih rancak dengan pemimpin tertinggi gabungan BN dan PH serta PN dijadual menyertai kempen.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH sudah pun turun berkempen di Felda Chemomoi malam tadi dan antara lain menggesa hadirin agar tidak melihat DAP sebagai musuh, apatah lagi parti itu menyokong langkah melupuskan hutang peneroka sebanyak RM8.3 bilion.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pula dijadual menyertai program kempen hari ini, bermula jam lima petang di Simpang Pelangai dan juga berakhir di Felda Chemomoi.