Skip to main
Logo Malaysiakini

Adun gesa T'ganu lebih tegas pada pelancong Muslim 'mencolok mata'

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Adun Ladang Zuraida Md Noor hari ini menggesa kerajaan Terengganu bertindak lebih tegas terhadap pelancong beragama Islam yang disifatkan berpakaian mencolok mata ketika melancong di negeri itu.

Zuraida yang juga ketua sayap Ameerah PAS berkata garis panduan pelancongan yang dikeluarkan kerajaan negeri antara lain jelas menyatakan pelancong beragama Islam perlu menutup aurat.

“Ini kerana terdapat sesetengah pelancong muslim terutama di pusat peranginan dan pulau-pulau jelas melanggar garis panduan pelancongan negeri Terengganu iaitu tidak patuh dengan etika pemakaian untuk pelancong Muslim.

“Saya menyaksikan sendiri, pelancong Muslim wanita tanpa segan silu memakai seluar pendek, bersinglet, tidak bertudung malah semakin ramai yang berani memakai pakaian mencolok mata bersiar-siar di tempat pelancongan kita," katanya ketika berbahas di sidang DUN Terengganu, seperti dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Terengganu, pelancong beragama Islam perlu berpakaian menutup aurat manakala pelancong bukan Islam perlu berpakaian sopan iaitu tidak terlalu ketat, jarang dan singkat.

Peraturan sama turut dikenakan terhadap mereka yang terlibat di barisan depan sektor pelancongan seperti pekerja hotel, pemandu pelancong dan pengemudi bot.

Para pelancong juga perlu berkelakuan baik dan sopan serta "tidak bercumbuan dan berpelukan" di khalayak ramai, menurut garis panduan yang dikongsikan di laman rasmi Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu.

Mengulas lanjut, Zuraida yang merupakan satu-satunya Adun wanita di Terengganu berkata pemantauan terhadap perkara itu perlu dilakukan lokasi berkaitan pelancongan seperti hotel, rumah peranginan, pulau dan pantai, dengan melibatkan semua portfolio, agensi dan jabatan kerajaan.

“Mungkin masih ramai yang tidak tahu tentang garis panduan yang kerajaan keluarkan atau mereka tahu tetapi semakin berani untuk tidak patuh dengan garis panduan yang ditetapkan," katanya sambil menambah tiadanya penguatkuasaan juga menyebabkan ada pelancong yang tidak mematuhi garis panduan itu.