Adnan Yaakob sertai kempen, suntikan saat akhir untuk BN
PRK PELANGAI | BN mendapat suntikan di saat akhir kempen PRK Pelangai dengan kehadiran bekas menteri besar Pahang Adnan Yaakob yang turut serta berkempen untuk calon BN Amizar Abu Adam.
Kehadiran itu juga menjawab spekulasi yang mendakwa bekas Adun Pelangai itu tidak lagi mendukung perjuangan BN khususnya selepas video dirinya mengkritik Umno pada Ogos lalu.
"Saya memang telah memberi makluman kepada Menteri Besar Wan Rosdy (Wan Ismail) bahawa saya akan turun (berkempen) pada minggu kedua.
"Minggu pertama saya banyak urusan...mulai hari ini sehingga Jumaat saya akan turun dan saya telah aturkan tidak kurang sepuluh atau sebelas acara.
"Modus operasi saya mudah...jamuan tengah hari atau jamuan teh. Kita tidak kempen berapi-api, kita tidak bercakap berapi-api. Kita bercakap bersembang-sembang santai," katanya ketika ditemui di Felda Kemasul, dekat Bentong, hari ini.
Adnan bersama-sama calon BN Amizar Abu Adam ditemui ketika sedang makan tengah hari di rumah seorang penduduk, ketika berkempen di sana.
Pada 16 Ogos lalu, Adnan menyatakan "Umno dah nak bungkus dah, bungkus lipat" ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berjaya mengetepikan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya.
Rakaman kenyataan itu kemudian tular di media sosial, menimbulkan spekulasi dia akan menyusuli sejumlah nama-nama veteran Umno yang beralih kepada PN.
Adnan menjadi Adun Pelangai selama tujuh penggal dan menteri besar Pahang selama empat penggal, sejak 1999 hingga 2018.
Dia kemudian mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN tersebut pada PRU15.
Ditanya mengenai peluang BN dalam PRK ini, Adnan berkata keadaan masih "50-50" buat Amizar dan calon PN Kasim Samat.
"Tapi ada satu dua faktor yang akan menentukan," katanya lagi.
Sementera itu, Adnan membidas pemimpin pembangkang yang mendakwa dia gagal membangunkan kawasan itu - termasuk membawa masuk mesin ATM dan stesen minyak - selama menjadi menteri besar.
"Pelangai ni Pelangailah, sekurang-kurangnya dari dulu sampai sekarang sudah banyak kemajuannya.
"Takkan menteri besar nak bawa Bank Negara atau menara berkembar bawa ke Pelangai, atau Petronas dan KLIA. Bukan itu caranya.
"Cara kita sekarang pastikan keadaan aman tenteram, boleh cari makan. Jika ada apa-apa masalah, ada Felda, kerajaan negeri dan kerajaan pusat boleh tolong menguruskan," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai