Kerajaan negeri kini boleh teroka unsur nadir bumi
Kerajaan negeri kini dibenarkan melaksanakan penerokaan awal unsur nadir bumi (REE) berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk perlombongan nadir bumi dan mineral.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral (JKPPIM), semalam.
“Jawatankuasa ini juga akan melihat keperluan dalam melaksanakan rangka kerja kebangsaan bagi pembangunan industri mineral contohnya untuk pengekstrakan REE.
“Bagi menyahut ucapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kerajaan negeri dibenarkan melaksanakan eksplorasi awal REE berdasarkan SOP NR-REE (REE tanpa radioaktif) dan dasar-dasar mineral sedia ada,” kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan hari ini.
Perkembangan ini di tengah siasatan SPRM terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Mohd Nor berhubung dakwaan rasuah dalam isu perlombongan REE di Sik.
Sanusi juga hadir ke mesyuarat JKPPIM semalam, bersama menteri besar Perak, Terengganu dan Perlis.
Turut hadir adalah timbalan ketua menteri Sabah, timbalan premier Sarawak dan Exco-exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab ke atas mineral serta agensi persekutuan yang berkaitan.
Mesyuarat tersebut bertujuan menyelaraskan isu pengurusan mineral antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata mesyuarat semalam turut menyemak laporan audit projek perlombongan nadir bumi di Kenering, Perak.
Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai audit tersebut atau sama ada projek rintis itu berjaya atau tidak, tidak didedahkan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai