Skip to main
Logo Malaysiakini

Muhyiddin: Kemenangan PN boleh cetus perubahan k'jaan Pahang

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

PRK Pelangai | Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu mampu mengambil alih pentadbiran Pahang jika menang dalam PRK Pelangai, menerusi penyertaan daripada Adun kerajaan.

Muhyiddin membayangkan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man akan menjadi menteri besar jika ia berlaku.

"PRK Pelangai untuk rakyat bersama kita memberikan isyarat jelas.

"Ya, (kemenangan) tak akan mengubah (komposisi) kerajaan kerana tambah satu (kerusi sahaja). (Ia juga bermakna) kurang empat (kerusi sahaja berbanding kerajaan negeri).

"Mungkin nanti ada YB Umno sedar kesilapan dan ingin masuk jemaah kita. (Jika ia berlaku) Insya-Allah Tuan Ibrahim bakal menteri besar Pahang," katanya dalam sesi dialog bersama NGO Melayu di Simpang Durian - daerah di Negeri Sembilan yang bersempadan dengan Pelangai - petang tadi.

Pahang setakat ini tiada undang-undang antilompat parti yang dapat menghalang Adun keluar daripada parti yang dianggotainya ketika menang pilihan raya.

Pada PRU15, BN menang di 16 kerusi DUN di Pahang manakala PN mendapat 17 kerusi. BN kemudian menubuhkan kerajaan negeri dengan PH yang memiliki lapan kerusi DUN.

DUN Pelangai dimenangi Allahyarham Johari Harun, yang meninggal dunia dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

PN terbuka kepada semua

Bercakap dengan pemberita kemudiannya, Muhyiddin berkata PN terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang ingin memberikan sokongan, termasuk Adun daripada kerajaan yang setuju untuk mematuhi prinsip gabungan itu.

Namun, dia berkata tiada sebarang maklumat berkenaan khabar angin yang mendakwa ada empat Adun di Pahang yang ingin menyertai PN.

"Kami terbuka kepada sesiapa yang ingin sokong. Tapi saya tak pasti siapa yang dikatakan empat (Adun) ini, atau jika khabar angin ini ada kebenarannya.

"Apa-apa pun, Pelangai penting buat kami. Kami bekerja keras untuk jelaskan kepada pengundi agar mereka boleh beri undi kepada calon kami, Kasim Samat.

"Jika menang, ia pastinya kuatkan kedudukan PN. Kami tahu jumlah (kerusi) masih tak cukup, tapi jika ia boleh buka peluang untuk kami tubuh kerajaan, pastinya kami harap dapat berbuat demikian," katanya lagi.

Usaha menang dulu

Sementara itu, Tuan Ibrahim ketika sesi dialog berkata jika benar ada empat Adun yang ingin menyertai PN, dia ingin bertemu dengan mereka.

Tuan Ibrahim Tuan Man

"Jawapan saya mudah - jika memang ada empat Adun (yang ingin sertai), bawa jumpa saya.

"DUN Pahang belum luluskan undang-undang antilompat parti...Kami masih membincangkan rang undang-undang itu," kata Adun Cheka itu lagi.

Ketika ditanya Malaysiakini kemudian, Tuan Ibrahim berkata belum ada wakil rakyat pihak kerajaan yang mendekatinya atau PN setakat ini.

Buat masa sekarang, kata ketua pembangkang Pahang itu, mereka ingin fokus kepada usaha memenangi Pelangai.