Skip to main
Logo Malaysiakini

Wan Rosdy: Fitnah, tiada Adun BN akan sertai PN

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail mendakwa Adun BN telah menyatakan kesetiaan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinannya di negeri itu dan tidak akan sesekali keluar parti untuk menyertai PN.

Jelasnya, dakwaan kononnya empat Adun BN negeri itu akan menyertai PN jika pembangkang menang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai tidak lebih daripada fitnah bagi menakutkan rakyat.

"Saya ada terdengar tu...tetapi tadi Adun-Adun secara spontan ada yang membuat video dan merakamkan sendiri bahawa mereka tidak akan keluar dan akan terus bersama BN.

"Ada juga yang buat video secara kelompok lebih kurang 11 orang dan boleh dikatakan seluruh Adun dari BN mengatakan akan terus berada dalam kerajaan perpaduan," katanya ketika ditemui ketika berkempen di Telemong, dekat Bentong malam tadi.

Semalam, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin berkata dia tidak menolak kemungkinan gabungan itu mampu mengambil alih pentadbiran Pahang jika menang dalam PRK Pelangai.

Muhyiddin membayangkan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man akan menjadi menteri besar jika ia berlaku.

"PRK Pelangai untuk rakyat bersama kita memberikan isyarat jelas.

"Ya, (kemenangan) tak akan mengubah (komposisi) kerajaan kerana tambah satu (kerusi sahaja). (Ia juga bermakna) kurang empat (kerusi sahaja berbanding kerajaan negeri).

Gambar fail.

"Mungkin nanti ada YB Umno sedar kesilapan dan ingin masuk jemaah kita.

“(Jika ia berlaku) Insya-Allah Tuan Ibrahim bakal menteri besar Pahang," katanya dalam sesi dialog bersama NGO Melayu di Simpang Durian - daerah di Negeri Sembilan yang bersempadan dengan Pelangai, petang semalam.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata pembangkang sengaja mewujudkan cerita supaya pengundi di DUN Pelangai terpengaruh.

"(Pembangkang) mewujud dan mereka cipta supaya menakutkan rakyat dan terpengaruh dengan cakap mereka walhal ini tidak benar sama sekali.

"Saya dah dapat video dari rakan-rakan Adun BN yang menyatakan mereka akan terus bersama kerajaan perpaduan, yang menyatakan akan terus bersama saya sebagai menteri besar," katanya.