Skip to main
Logo Malaysiakini

MB: Selangor siap siaga hadapi banjir tengkujuh

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerajaan Selangor telah membuat persiapan awal untuk menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula bulan depan, dengan sumber untuk melindungi dan membantu sehingga 5,000 mangsa sekiranya berlaku perpindahan akibat banjir.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata semua jentera negeri telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Jelasnya, sepuluh exco kerajaan negeri ditugaskan ke kawasan tumpuan untuk memantau langkah berkaitan usaha tebatan dan pengurusan banjir.

“Pusat Operasi Smart Selangor akan menyelaras dan memantau maklumat kepada rakyat melalui kerjasama dengan Jabatan Metereologi,” kata Amirudin pada sidang media di bangunan Sekretariat Selangor di Shah Alam.

Mengimbas pengalaman lepas, Amirudin berkata kerajaan negeri akan mengenal pasti pusat perlindungan sementara di kawasan yang sering dilanda banjir dan menghantar sumber tambahan mulai awal bulan depan.

“Jadi sekiranya berlaku bencana banjir besar, kami tidak akan mengambil masa yang lama seperti pada 2021 untuk memindahkan penduduk atau menghantar bekalan untuk mangsa.

“Kita juga sedang berusaha menaik taraf kemudahan di pusat perlindungan banjir, dari segi bekalan air dan lain-lain,” katanya.

Dari segi tebatan dan pencegahan banjir, Amirudin berkata kerja berterusan termasuk usaha pembersihan oleh semua majlis tempatan, khususnya untuk memastikan sistem pengairan dan perparitan yang tidak tersumbat di kawasan mereka.

'Komitmen 100 Hari'

Sementara itu, Amirudin berkata mesyuarat exco kerajaan negeri awal hari ini turut membuat tiga keputusan yang merupakan sebahagian daripada lima komitmen utama kerajaan perpaduan PH dan BN dalam 100 hari pertama selepas menang pilihan raya negeri.

Keputusan pertama ialah mengetepikan cukai taksiran untuk 426,656 rumah kos rendah dan kampung di Selangor, bagi tempoh Julai hingga Disember tahun ini, dengan kos RM29,415,672.50 untuk semua majlis tempatan.

Amirudin berkata 500 penerima skim insentif pertanian Selangor akan diberi bantuan tunai RM500 dan peralatan atau bahan mentah bernilai RM500 mulai 31 Okt.

Akhir sekali, dia berkata Jabatan Hal Ehwal Agama Selangor akan menyelaras kenaikan gaji yang dijanjikan untuk semua imam masjid dan pegawai masjid mulai bulan ini.