Skip to main
Logo Malaysiakini

Semak fakta: Video ikan mati tiada kaitan dengan sisa nuklear Fukushima

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Sejumlah video di media sosial yang menunjukkan banyak bangkai ikan di pesisir pantai disebabkan pelepasan sisa nuklear terawat dari loji nuklear Fukushima Daiichi adalah palsu.

Ia menurut penilaian yang dibuat organisasi semak fakta, Faqcheck Lab.

Faqcheck Lab mendapati beberapa versi video yang sama telah dikongsikan di pelbagai media sosial termasuk TikTok, dengan satu versi membayangkan raksasa "seperti Godzilla" pasti akan muncul ekoran pelepasan sisa tersebut.

Tangkap layar video sama turut tersebar di Twitter (kini dengan nama X) dengan disertai tulisan berbahasa Cina yang mendakwa ia merukan kesan daripada pelepasan sisa nuklear terawat di Fukushima.

Namun, semakan mendapati rakaman itu sebenarnya diambil ketika berlakunya eutrofikasi di Tasik Luoma di Jiangsu, China pada 23 Ogos lalu - sehari sebelum Japun dijadual melepaskan sisa.

Eutrofikasi adalah proses ketika berlaku lebihan nutrien yang tinggi kawasan air - seperti tasik - sehingga meningkatkan jumlah alga.

Ia menyebabkan kandungan oksigen berkurang dan mengubah kawasan tersebut, misalnya apabila warna Tasik Luoma berubah kepada hijau gelap, dan menjejaskan hidupan akuatik di situ.

Pada 23 Ogos lalu, China Global Television Network (CGTN) Amerika turut berkongsi rakaman pendek berkenaan ikan yang mati di Tasik Luoma, di Twitter.

Video yang dipadankan dengan rakaman itu kemudian mendakwa ia merupakan akibat daripada pelepasan sisa nuklear terawat di Fukushima.

Pelepasan sisa itu mencetuskan kerisauan makanan laut yang diimport dari Jepun tidak selamat untuk dimakan. China, Hong Kong dan Korea Utara juga telah melarang import makanan laut dari Jepun.

Namun, Jepun berkata tiada dapatan di luar kebiasaan dalam sampel ikan yang diambil di Laut Pasifik, dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memaklumkan sisa itu masih mematuhi standard keselamatan global.

Malaysia tidak melarang import makanan laut dari Jepun.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata Kementerian Kesihatan melakukan pemeriksaan berkala terhadap keselamatan makanan, termasuk pemeriksaan radiasi, dan mengesahkan makanan laut dari Jepun selamat untuk dimakan.


Malaysiakini dan Faqcheck Lab adalah sebahagian daripada kerjasama pemeriksaan fakta Jomcheck.

Melalui JomCheck, rakyat Malaysia boleh mengemukakan permintaan untuk menyemak fakta dengan menghantar mesej WhatsApp ke talian 017-477 6659 (teks WhatsApp sahaja, tiada panggilan) atau melalui pautan ini.