Skip to main
Logo Malaysiakini

Amizar serah soal pelantikan exco pada MB

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Calon BN Amizar Abu Adam enggan memikirkan soal jawatan dalam kerajaan sekiranya menang PRK DUN Pelangai, Sabtu ini.

Amizar enggan mengulas mengenai spekulasi yang dia akan dilantik sebagai exco sekiranya berjaya mempertahankan DUN Pelangai.

"Saya 'no comment', sebab ini bukan bidang kuasa saya, ini bidang kuasa yang amat berhormat menteri besar,” katanya.

Ditanya sama ada dia bersedia untuk menggalas jawatan exco jika dipilih sebagai wakil rakyat, Amizar enggan mengulas lanjut perkara itu.

"Saya tidak boleh mendahului (menteri besar Pahang)," katanya ketika ditemui selepas ziarah kasih di Felda Kemahal, dekat Bentong hari ini.

Untuk rekod jawatan exco Pahang mempunyai satu kekosongan ketika ini susulan penyandang kerusi DUN Pelangai, Allahyarham Johari Harun yang meninggal dunia selepas terbabit dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina di Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Selain Adun Pelangai, Allahyarham Johari juga adalah Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang.

Amizar yang dipertaruhkan BN bagi mempertahankan kerusi itu dicabar calon PN, Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

Mengulas mengenai corak kempen PN yang cuba menimbulkan persepsi menggambarkan kerajaan Pahang yang membabitkan gabungan BN-PH ketika ini menggugat agama Islam, Amizar berkata kenyataan itu adalah bersifat fitnah.

"Itu kesilapan besar, inilah fitnah yang saya amat risau. Cara nak berkempen jangan terlalu ekstrem. Nak datang (berkempen), datanglah, ini negara demokrasi.

"Tapi janganlah (datang) untuk sebar fitnah," katanya lagi.