Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid: Dapat maklumat, ada Adun PN hendak sertai BN

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

PRK PELANGAI | Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tiada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pahang daripada Barisan Nasional (BN) akan menyertai Perikatan Nasional (PN) jika gabungan itu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Sabtu ini.

Pengerusi BN itu berkata sebaliknya beliau mendapat maklumat bahawa terdapat beberapa Adun daripada PN yang dijangka menyokong kerajaan gabungan BN-Pakatan Harapan (BN-PH) di Pahang.

“Dakwaan empat Adun BN akan sokong PN adalah propaganda mereka tapi kita ada maklumat dalaman yang sebenarnya mereka akan bersama-sama kami," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ceramah di Felda Chemomoi baru-baru ini yang mendakwa ada kemungkinan Adun BN akan menyertai PN sekiranya gabungan itu menang pada PRK DUN Pelangai.

Ahmad Zahid, yang juga Presiden Umno berkata komposisi yang membentuk Kerajaan Negeri Pahang ketika ini terdiri daripada 16 Adun BN dan lapan Adun PH manakala PN mempunyai 17 Adun.

“Insya-Allah, kita akan kekalkan Pelangai.

“Jumlah ini adalah lebih daripada mencukupi bagi membentuk kerajaan,” katanya.

Pahang adalah antara negeri yang belum menguatkuasakan undang-undang antilompat parti terhadap Adun sejak ia dilaksanakan di peringkat Persekutuan pada 5 Okt 2022.

PRK bagi DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

PRK pada Sabtu ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara calon BN Datuk Amizar Abu Adam, calon PN Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.

- Bernama