Skip to main
Logo Malaysiakini

Persatuan: Atlet gimnastik wanita T'ganu ditawar sertai wushu

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Atlet gimnastik wanita Terengganu buat masa ini diberi tawaran untuk menyertai wushu, susulan kerajaan negeri yang kekal melarang penyertaan mereka dalam sukan gimnastik.

Perkara itu dimaklumkan Presiden Persatuan Gimnastik Negeri Terengganu (PGNT) Abdul Razak Mat Amin yang berkata pihaknya yang akur dengan larangan tersebut.

“Buat masa ini atlet gimnastik wanita kita diserap untuk menyertai acara wushu. Setakat ini seramai enam orang telah diserap ke sukan itu.

"Sekarang PGNT fokus pada atlet lelaki sepenuhnya. Malah kita sudah melahirkan antara atlet gimnastik terbaik negara," kata Abdul Razak ketika dihubungi Malaysiakini.

Gimnas wanita ubah ke acara Wushu

Dia merujuk Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisam, 22, yang berjaya merangkul pingat gangsa dalam kategori melombol di temasya Sukan Asia Hangzhou pada minggu lalu.

Menurutnya, gimnas wanita PGNT telah lama bersedia untuk perubahan ini supaya bakat mereka boleh diarahkan ke acara lain.

"Sebenarnya atlet wanita gimnastik sudah agak lama buat persediaan, apabila berlaku sekatan begini kita beri peluang supaya bakat mereka diimplimentasi dalam acara lain.

Gambar hiasan, sukan wushu.

"Jadi mereka digalakkan sertai sukan wushu kerana asas dan gerakan gimnastik bersesuaian dengan kemahiran yang diperlukan dalam wushu,” kata Abdul Razak.

Terdahulu, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu Hishamuddin Abdul Karim membangkitkan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri yang dilancarkan pada Mac 2020.

Berbahas dalam sidang DUN dua hari lalu, Hishamuddin berkata antara garis panduan yang ditetapkan ialah atlet beragama Islam perlu berpakaian yang ditetapkan syarak seperti menutup aurat, sopan dan bersesuaian dengan sukan yang diceburi.

Ketika ditemui selepas sidang, dia berkata kerajaan negeri kekal dengan keputusan melarang atlet wanita menyertai gimnastik kerana pakaian yang ketat dan mempamerkan bentuk badan.

Gambar hiasan, sukan gimnastik.

“Kita harap semua pihak menghormati pendirian kami. Kami bukan benci sukan itu tetapi untuk membiarkan atlet wanita keluar (mengambil bahagian) dalam keadaan begitu adalah tidak sesuai," katanya seperti dipetik Bernama.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata pihaknya sebelum ini sudah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri agar atlet wanita dibenarkan menyertai sukan itu, namun gagal.

“Ada dalam tiga kali saya jumpa dengan Exco kerajaan negeri dan persatuan cadangkan pemakaian lebih sopan, namun tetap ditolak.

“Jadi kami akur dengan keputusan yang ditetapkan,” katanya, sambil menambah pihaknya tidak lagi menghantar atlet gimnastik wanita ke Sukma sejak tahun lepas.