Skip to main
Logo Malaysiakini

Perhilitan siasat punca Orang Asli maut dipercayai dibaham rimau

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan bersama pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan melakukan siasatan di lokasi kejadian bagi menentukan punca kematian seorang lelaki Orang Asli akibat diserang hidupan liar dipercayai harimau belang di Pos Pasik di Gua Musang semalam.

Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata pasukan SAR yang terdiri daripada polis, Perhilitan, bomba dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah diberikan taklimat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang sebelum mula bergerak ke lokasi kejadian pada 9 pagi semalam.

"Jarak antara bandar Gua Musang ke Pos Pasik adalah sejauh 85 kilometer dan pasukan mereka terpaksa mengambil masa hingga empat jam untuk tiba ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Mohamad Hafid berkata laluan untuk ke Pos Pasik hanya dapat diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan ladang.

Beliau berkata berdasarkan rekod aduan konflik hidupan liar Pejabat Perhilitan daerah Gua Musang, aduan awam yang diterima daripada penduduk Pos Pasik sebelum ini hanya melibatkan gangguan gajah liar.

"Perhilitan telah membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) mudah alih di sekeliling Sekolah Kebangsaan Pos Pasik pada 2017 dan masih dalam keadaan berfungsi serta diselenggara oleh kontraktor yang dilantik oleh jabatan," katanya.

Kelmarin, seorang lelaki Orang Asli berusia 25 tahun ditemukan meninggal dunia dengan kaki kirinya hilang disyaki dibaham harimau selain kesan cakaran haiwan itu pada kepala dan badannya, di kawasan hutan Pos Pasik.

- Bernama