Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan perlu tegas mansuhkan akta hasutan, Sosma - Syed Husin

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

WAWANCARA | Bekas timbalan presiden PKR Syed Husin Ali mengingatkan rakan-rakan partinya mengenai kewajipan untuk memastikan undang-undang zalim yang membenarkan penahanan tanpa bicara mesti ditangani dan dihapuskan.

Syed Husin, 87 tahun memberitahu Malaysiakini dia secara amnya positif mengenai prestasi pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pun begitu, Syed Husin mengambil maklum kritikan yang dilemparkan terhadap kerajaan susulan pemenjaraan pendakwah bebas dan bekas ketua exco agama Pemuda PKR Wan Ji Wan Hussin.

Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan mengurangkan hukumannya tetapi memerintahkan bekas penasihat agama kepada ketua menteri Pulau Pinang sebelum ini Lim Guan Eng untuk menjalani hukuman penjara sembilan bulan.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Ramkarpal Singh berkata kerajaan tidak berhasrat untuk memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) - yang membenarkan penahanan tanpa bicara selama 28 hari.

Sebaliknya, Ramkarpal berkata Putrajaya bertujuan menambah baik undang-undang dengan memperkenalkan beberapa pindaan secara berperingkat.

“Mereka patutnya buat lebih lagi tapi mereka belum cukup melakukan mengenai perkara ini, yang mengecewakan saya.

“Pada masa lalu, mereka mengkritik tindakan sedemikian yang terbuka kepada penyalahgunaan kuasa,” kata Syed Husin, yang ditahan selama enam tahun tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dari 1974 hingga 1980.

Tegasnya, pentadbiran sekarang tidak boleh dilihat sebagai menindas mereka yang kritikal terhadap kerajaan.

“Walaupun kerajaan sekarang tidak cuba menindas pembangkang, ia mesti sedar tentang persepsi.

"Saya tidak setuju (mengenai tindakan) untuk membuat laporan polis mengenai setiap isu atau kritikan. Ini tidak boleh dibiarkan,” kata Syed Husin, 87 tahun.

Terbuka pada kritikan

Dia turut kesal dengan kes membabitkan Wan Ji, yang sudah mulai menjalani hukuman penjara sembilan bulan pada 25 Sept lalu berhubung kes hasutan 2014 yang dikaitkan dengan sultan Selangor.

“Dari segi kes Wan Ji, ada yang sangat sensitif terhadap raja-raja. Mereka tidak boleh disentuh sama sekali.

“Saya fikir kita harus mengamalkan sikap British. Mereka boleh mengkritik raja-raja tetapi itu tidak menjadikan sistem beraja mereka hilang.

"Adalah lebih baik untuk membenarkan orang ramai bersikap kritis dan membiarkan mereka menyuarakan perasaan mereka daripada menekan mereka,” kata Syed Husin.

Menurutnya lagi, sambutan terhadap kerajaan sekarang agak berbelah bahagi.

“Sesetengah penyokong tradisional Pakatan Harapan sangat kecewa dan mereka bebas mengkritik. Ia boleh dijangka tetapi serangan mereka boleh menjadi sangat peribadi.

“Kemudian, ada pihak lain yang cukup gembira dengan kerajaan dan menyedari bahawa ini adalah hasil terbaik untuk kestabilan dan kemajuan kita.

"Dari segi bilangan ahli parlimen, ia sepatutnya stabil kerana menguasai dua pertiga,” katanya.

Harapan tinggi

Syed Husin, yang berkhidmat dua penggal di Dewan Negara, menambah faktor kestabilan utama kerajaan kerana GPS Sarawak dan Umno bekerjasama dengan PH.

Bagaimanapun, Syed Husin mengingatkan mereka yang terlalu berharap kepada kerajaan mengenai keruntuhan pentadbiran PH akibat Langkah Sheraton.

“Kami optimis selepas kemenangan PRU14 dan kemudian Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan secara unilateral sebagai perdana menteri, mencetuskan Langkah Sheraton.

“Saya rasa walaupun Mahathir telah berjanji untuk menyerahkan (jawatan perdana menteri) itu, dia sentiasa menolak sebarang tempoh masa peralihan kuasa kerana dia mempunyai ketakutan tersembunyi terhadap Anwar menjadi perdana menteri.

“Mungkin dia fikir Anwar tahu terlalu banyak dan boleh mendedahkannya.

“Walaupun Anwar berkata dia mahu bergerak ke depan, sehingga hari ini Mahathir cuba memburukkan Anwar, mengatakan dia tidak mempunyai keupayaan untuk menjadi perdana menteri,” kata Syed Husin.

Ahli politik veteran itu, yang juga berkhidmat sebagai ahli akademik selama beberapa dekad, mengakui dia kecewa dengan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan di mahkamah.

“Walaupun DNAA Zahid kelihatan buruk, namun saya yakin menteri-menteri (sekarang) tidak terlibat dengan rasuah seperti menteri atau perdana menteri sebelum ini.

“Saya rasa ada kebimbangan yang lebih besar untuk rakyat biasa.

“Kerajaan berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan taraf hidup,” kata Syed Husin.

Menurutnya, terdapat keperluan untuk melaksanakan perubahan besar dalam pendidikan dan kerajaan harus mula menggunakan pendidikan sebagai alat untuk membina perpaduan dalam negara.

“Kurikulum harus diubah. Perlu ada kurikulum yang membolehkan pelbagai kumpulan etnik mengetahui sejarah dan memahami budaya dan kehidupan kumpulan etnik lain.

"Untuk menyayangi antara satu sama lain, kita mesti mengenali antara satu sama lain.

“Kualiti pendidikan juga tidak begitu demokratik. Jika anda melihat bandar dan luar bandar, orang kaya dan orang miskin, ia sangat tidak seimbang dari segi akses kepada kemudahan.

"Kita mesti menjadikannya lebih setara,” kata Syed Husin yang juga salah seorang pengasas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Saya juga ingin melihat politik yang lebih terbuka dan demokratik. Perlu ada pertukaran idea dan perbincangan terbuka dan bukannya berselindung di sebalik personaliti atau mempromosikan kaum atau agama,” kata Syed Husin lagi.