Skip to main
Logo Malaysiakini

SPRM serbu pejabat peguam Muhyiddin

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

SPRM pagi ini telah menyerbu firma peguam yang mewakili bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, menurut sumber yang rapat dengan perkara itu.

Sumber itu mendakwa 12 pegawai daripada badan antirasuah itu melakukan serbuan ke pejabat firma guaman Rosli Dahlan Saravana (RDS).

Sumber itu mendakwa pegawai SPRM menuntut hak untuk menggeledah dan merampas dokumen firma tersebut.

Sebelum ini, pegawai SPRM juga cuba menyerbu pejabat guaman Chetan Jethwani & Co, yang turut mewakili Muhyiddin.

Sumber itu berkata Rosli Dahlan (gambar, atas), yang juga rakan kongsi RDS, merupakan penasihat utama Bersatu dan presiden gabungan parti pembangkang Muhyiddin.

Sumber itu juga menyatakan bahawa RDS mewakili Muhyiddin dalam saman fitnah bekas perdana menteri itu terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sumber itu seterusnya mendakwa terdapat kebimbangan berkenaan fail berkaitan kes tersebut.

Sementara itu, SPRM mengesahkan sedang menyiasat beberapa individu.

Ini termasuk seorang peguam berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan usaha kerajaan untuk mendapatkan semula dana yang diselewengkan daripada 1MDB.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki tidak menamakan peguam yang sedang disiasat.

"SPRM menafikan kehadiran pegawainya ke premis peguam tersebut menyalahi mana-mana akta yang berkuatkuasa.

"Ini kerana pihak SPRM mematuhi peraturan serta menyedari privasi antara peguam tersebut dan klien-kliennya," katanya.

Portal berita ini juga telah melihat keterangan mengenai serbuan ke pejabat firma guaman itu.

Sementara itu, sumber kedua pula memberitahu pasukan SPRM telah meninggalkan premis serbuan sekitar lewat tengah hari tadi.

Malaysiakini turut menghubungi peguam dari firma guaman Chetan Jethwani & Co untuk mendapatkan maklum balas.

Kedua-dua RDS dan Chetan Jethwani & Co mewakili Muhyiddin dalam kes jenayahnya di mahkamah.

[Baca berita asal]