'Saya tak perlu kebenaran Lembaga Racun untuk buang nikotin dari Akta Racun'
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata dia ada kuasa kementerian untuk mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952 (Akta 366).
Zaliha berkata dia juga tidak memerlukan kebenaran daripada Lembaga Racun untuk berbuat demikian.
Dia berkata demikian dalam afidavit bagi membantah semakan kehakiman yang difailkan tiga NGO yang mencabar keputusannya untuk mengeluarkan nikotin daripada senarai itu.
"Saya telah dinasihati peguam kanan persekutuan dan yakin berdasarkan Seksyen 6 Akta 366, saya hanya perlu mendapatkan nasihat daripada Lembaga Racun berhubung keputusan mengecualikan (nikotin) dan tidak perlu mendapatkan kebenaran Lembaga Racun.
"Maka, saya yakin keputusan tersebut sah di sisi undang-undang, dibuat secara rasional dan tidak berlaku kekurangan prosedur," katanya.
Tiga pihak yang memfailkan semakan kehakiman - Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Malaysian Green Lung Association (MGLA), dan Voice of the Children (VOC) - berhujah Zaliha tidak menimbang secara betul dan membuat libat urus dengan Lembaga Racun yang sebulat suara membantah pengecualian itu.
Dalam afidavitnya, Zaliha berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengambil kira faktor kerajaan kini dalam proses membentangkan RUU Kawalan Produk Merokok, dengan bacaan pertama di Parlimen telah dibuat 12 Jun lalu.
Dia berkata RUU itu merangkumi peruntukan yang melarang penjualan produk merokok kepada mereka yang lahir selepas 1 Januari 2007.
RUU itu juga meliputi produk vape dan rokok elektronik, katanya lagi.
"...Kerajaan telah mengenakan duti eksais untuk produk cecair dan gel yang mengandungi nikotin, dan ini selaras dengan komitmen kerajaan, di mana percukaian adalah satu bentuk kawalan yang boleh dilaksanakan terhadap penggunaan rokok dan tembakau, termasuk rokok elektronik dan vape.
"Saya ingin menyatakan jumlah yang dikumpul daripada duti eksais akan digunakan oleh KKM untuk peruntukan penjagaan kesihatan," katanya lagi.
Zaliha mendakwa keputusannya adalah sebahagian daripada usaha untuk mengenakan cukai terhadap produk merokok seumpama itu dan seterusnya mengurangkan akses produk tersebut.
"Saya menyatakan rokok elektronik dan vape yang mengandungi gel dan cecair nikotin telah berada di pasaran secara haram dan dijual secara meluas tanpa kawalan.
"Melalui arahan (keputusan untuk mengecualikan nikotin), kilang perlu mendaftarkan kegiatan kilang dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, dan ini adalah satu bentuk kawalan yang boleh dilakukan sebelum kawalan komprehensif dapat dibuat menerusi pelulusan RUU Kawalan Produk Merokok yang telah dibentang sebelum ini," katanya.
Berdasarkan salinan semakan kehakiman yang menamakan menteri kesihatan dan kerajaan persekutuan sebagai responden pertama dan kedua, tiga NGO tersebut menuntut mahkamah membatalkan keputusan Zaliha untuk meminda Akta Racun pada 31 Mac lalu.
Mereka mendakwa langkah itu membolehkan produk vape dan rokok elektronik yang mengandungi nikotin dijual secara terbuka dan sah kepada sesiapa sahaja, termasuk warga berusia kurang 18 tahun, tanpa apa-apa bentuk kawalan atau peraturan.
Mereka berkata pengecualian itu, serta kurangnya perundangan atau pengawalan terhadap rokok elektronik dan vape, secara sah telah membenarkan sebarang tahap kandungan nikotin dalam produk tersebut.
Mereka juga mendakwa tindakan menteri sebagai tidak rasional kerana pengecualian itu akan menyebabkan rokok elektronik dan vape yang mengandungi nikotin dijual secara terbuka kepada kanak-kanak.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai