Skip to main
Logo Malaysiakini

Speaker teliti saranan potong elaun MP ponteng sidang Parlimen

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memaklumkan pihaknya sedang meneliti secara serius cara, termasuk saranan memotong elaun ahli parlimen sekiranya mereka ponteng secara berterusan ketika sidang parlimen.

Johari dipetik Bernama berkata dia perlu memikirkan suatu peraturan yang lebih ketat untuk menambah baik kehadiran ahli parlimen, kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pengundi kawasan yang diwakili mereka.

Dia berkata terdapat cadangan termasuk daripada bekas speaker Mohamad Ariff Md Yusof yang mahu Peraturan Mesyuarat Parlimen dipinda bagi memudahkan pelaksanaan tindakan itu.

"Saya rasa ia adalah agak wajar kerana pada masa sekarang kami tidak ada peraturan itu bermakna Ahli Parlimen tidak ada kekangan melakukannya.

"Selepas hadir buat seketika, mereka blah, ini tidak adil," katanya.

Johari juga berkata dia sedia untuk meningkatkan ketelusan dengan memuat naik rekod kedatangan ahli parlimen dalam laman sesawang parlimen.

"Tetapi saya perlu melihat pada aspek perundangan sama ada ia boleh atau tidak tetapi bagi saya secara peribadi sudah tentu ia wajar.

"Tetapi sekali lagi seperti saya katakan saya perlu melihat kepada mekanisme dan undang-undang termasuk Peraturan Mesyuarat sama ada ia dibenarkan atau tidak," katanya pada majlis pertemuan Kelab Concorde di Kuala Lumpur hari ini.

Kelab Concorde merupakan majlis pertemuan tidak rasmi sekumpulan editor dan wartawan kanan bersama ahli politik dan penggubal dasar utama.

Antara yang hadir pertemuan hari ini ialah Pengerusi Bernama yang baru dilantik Wong Chun Wai.