KPM ambil 9,500 guru baru bulan depan - Fahdlina
Kementerian Pendidikan (KPM) dijangka membuat pengambilan 9,500 orang guru baru pada November ini bagi mengatasi isu kekurangan guru ketika ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata proses temu duga telah selesai dan penempatan segera akan dibuat.
"Isu kekurangan guru berlaku bila ada persaraan dan berhenti, kita akan cepat-cepat ganti. Sebab itu kekurangan ini bersifat sementara dan proses dapatkan guru dilaksanakan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) segera mungkin bagi memastikan kekosongan itu bersifat sementara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Agrotek Madani@KVKPM 2023 di Kolej Vokasional Pasir Puteh yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali, di Pasir Puteh hari ini.
Sementara itu, Fadhlina berkata kerja penyelenggaraan tandas sekolah di bawah KPM sudah 90 peratus selesai.
"Projek dipantau oleh Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) , saya dimaklumkan sudah 90 peratus siap.
Kita jangka hujung Oktober akan dapat kenal pasti angka secara tepat, sekarang semua sedang berjalan. Alhamdulillah ada juga yang telah siap dilaksanakan," katanya.
Pada Julai lepas, KPM dilaporkan memberi tempoh tiga bulan kepada setiap sekolah seluruh negara untuk menyelesaikan kerja penyelenggaraan tandas sekolah demi keselesaan pelajar menerusi peruntukan RM70,000 kepada setiap sekolah.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai