Aku tak minta apa, minta kau orang buat kerja saja - Pengarah CID
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain memberi peringatan terhadap anggota bawahannya yang didakwa bersekongkol dengan sindiket jenayah.
"Ia sangat mudah, sama ada kamu berubah atau diubah," katanya pada rakaman video yang disiarkan di laman Facebook PDRM hari ini.
Berdasarkan catatan, amaran Mohd Shuhaily itu dibuat pada majlis bersama ketua-ketua Jabatan Siasatan Jenayah dari seluruh Malaysia bertempat di Kompleks Cahaya, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, semalam.
Menurut Shuhaily lagi, sekiranya persekongkolan pihak berkuasa dan sindiket jenayah ini tidak dibendung ia boleh mendatangkan mudarat terhadap pasukan polis dan masyarakat.
"Kau orang (akan) sanggup jual nyawa rakan kau orang kerana imbuhan yang tak seberapa yang kau dapat daripada sindiket.
"Dalam erti kata lain dalam pasukan ini kelak ada yang akan berbunuh antara satu sama lain disebabkan duit.
"Sebab apa? Tiada penyeliaan di bawah (peringkat kontinjen dan daerah) untuk memantau dan melihat macam mana cara hidup pegawai dan anggota bawahan mereka. Tidak ada," katanya lagi.
Pengarah JSJ Bukit Aman itu juga mendakwa terdapat anggota yang hidup mewah kerana dibiayai sindiket, selain kekurangan pemantauan pihak atasan.
"Bagaimana anggota berpangkat sarjan boleh pakai (kereta) Alphard, Vellfire, Mercedes. Ada kau bertanya? Pengisytiharan harta ada buat?
"Perkara itu semua dah ada dalam kita punya arahan. Sebab itu ada antara pegawai dan anggota di bawah penyeliaan tuan puan buat benda merapu-rapu, sebab apa, sebab apa?
"Sebab bosnya sendiri tak ambil 'pot' (tak acuh). Bukan setakat tak ambil 'pot' malah bosnya pun sama.
"Pergi beli kereta berdua. 'Kau ambil nombor ni, aku ambil nombor ni'. Ada tak berlaku?
"Sebab ini memang berlaku dalam pasukan," dakwa Shuhaily.
Dia juga menekankan supaya JSJ menumpukan aspek kualiti dan memajukan ilmu kepolisian dalam melaksanakan tugas pasukan.
"Aku tak minta apa daripada kau orang. Tak minta duit atau apa pun.
"Aku minta korang buat kerja saja," katanya.
Shuhaily memberi amaran keras kepada 130 ketua bahagian siasatan jenayah daerah yang masih tidak mengikut arahan akan ditukarkan.
"Malah saya akan tulis notis cadangan di situ bahawa pegawai ini tidak layak untuk diberi kenaikan pangkat," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai