Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemuda bantah pindaan kewarganegaraan depan parlimen

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Seorang pemuda kelahiran Sabah mengadakan protes secara solo di hadapan bangunan parlimen hari ini bagi membantah cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung isu kewarganegaraan.

Wong Kueng Hui, 28, yang baru mendapat status warga negara setelah 16 tahun berjuang turut membawa sepanduk berbunyi ‘tolak pindaan zalim, selesaikan isu tanpa kerakyatan anak-anak Malaysia’.

“Untuk pengetahuan semua, saya menolak sekeras-kerasnya cadangan pindaan ini kerana saya adalah seorang bekas individu tanpa kewarganegaraan sebelum ini.

“Selama 16 tahun saya memperjuangkan untuk mendapatkan hak saya sebagai warganegara melalui proses perundangan yang sedia ada serta perkara yang tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan, sehinggalah saya mendapat IC saya secara sah pada 12 Julai 2023.

“Mungkin bagi majoriti rakyat Malaysia, perkara berkenaan dengan status kewarganegaraan jarang menjadi bahan bualan masyarakat.

“Namun, sepanjang 28 tahun kehidupan saya, pelbagai cabaran, rintangan, penindasan, diskriminasi, dan kekangan yang telah saya hadapi,” katanya kepada pemberita.

Wong berkata terdapat sekurang-kurangnya lima cadangan pindaan perlembagaan berhubung isu kewarganegaraan yang dibantah keras pihaknya kerana didakwa boleh memburukkan lagi isu tanpa kewarganegaraan di negara ini.

Pindaan itu katanya, membabitkan Seksyen 19 (B), Seksyen 1 (A), Seksyen 1 (E), Seksyen 26(2) dan 15 (1), serta Seksyen 15 (A) dan Seksyen 19(2) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 1 Okt lepas, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan kerajaan telah menyiapkan draf pindaan bahagian III Perlembagaan Persekutuan yang akan dibawa ke Majlis Raja-Raja pada bulan ini.

Menurut Wong, dia tidak sanggup lagi melihat anak-anak Malaysia yang keciciran dokumen mengalami pengalaman pahit yang telah dilalui sebelum ini.

“Dan dengan pindaan yang dicadangkan ini, hal ini akan lebih menidakkan lagi hak anak-anak Malaysia tanpa kewarganegaraan.

“Berdirinya saya di sini bukan sahaja untuk mewakili suara-suara yang tidak mempunyai suara, malahan anak Malaysia yang tidak mempunyai hak sebagai rakyat Malaysia.

“Saya menyeru kepada rakyat Malaysia, masyarakat sivil, dan semua orang tanpa mengira latar belakang politik, agama, atau bangsa untuk memberi sokongan pada saya untuk bantah cadangan pindaan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan ini,” ujarnya.