Skip to main
Logo Malaysiakini

Wakil rakyat jangan amal politik dendam - Tuanku Muhriz

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SIDANG DUN | Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri ini supaya tidak berbalah dan mengamalkan politik dendam, sebaliknya fokus kepada agenda membangunkan negeri dan menyejahterakan rakyat.

Baginda menegaskan mandat diberikan oleh rakyat merupakan amanah yang perlu diterjemahkan dengan penuh tanggungjawab.

"Jangan berbalah dan mengamalkan politik dendam yang akhirnya menyimpang daripada matlamat utama untuk memajukan negeri yang tercinta ini," titah baginda pada Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan yang ke-15 di Seremban hari ini.

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Tuanku Muhriz bertitah kewajipan yang diberikan perlu dilaksanakan dengan penuh integriti dan akauntabiliti serta mengutamakan kepentingan negeri tanpa ada agenda kepentingan politik atau peribadi.

Baginda bertitah semua ahli politik perlu sensitif dengan hasrat dan pandangan rakyat yang disuarakan menerusi pelbagai ruang dan platform yang tersedia.

"Ketahuilah bahawa kamu sentiasa diperhati dan dinilai oleh rakyat, berbahas dan berhujahlah secara rasional dan intelektual atas perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan dan manfaat bersama dengan mematuhi peraturan tetap Dewan sepanjang persidangan berlangsung.

"Beta mengingatkan ahli-ahli dewan yang mulia ini agar sentiasa menghayati, melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan," titah baginda.

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz bertitah perkara utama perlu dilihat adalah masalah rakyat yang masih dibelenggu dengan isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan jurang pendapatan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Baginda bertitah kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan rakyat tidak terlalu terbeban dengan kenaikan harga barang dan memperoleh bekalan makanan mencukupi.

"Untuk tujuan ini, pelbagai program pemerkasaan ekonomi rakyat dilaksanakan meliputi pembangunan tanah terbiar, bantuan modal perniagaan, pensijilan industri halal kotej, bantuan peralatan tangkapan ikan kepada nelayan pantai, pemberian elaun sara hidup bulanan kepada pelajar universiti, pemberian subsidi Rumah Harapan dan sebagainya.

"Di samping itu juga, kerajaan negeri telah melaksanakan inisiatif Jualan Harga Ladang Negeri Sembilan Prihatin bagi menangani isu kekurangan bekalan dan kenaikan harga barangan asas.

"Melalui inisiatif ini, rakyat di negeri ini dapat membeli barangan keperluan dengan harga 20 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran," titah baginda.

- Bernama